suria

Peluang Menang Agak Tipis: Kien Keat

KUALA LUMPUR: Pemenang pingat emas Sukan Komanwel 2010 acara beregu campuran, Koo Kien Keat/Chin Eei Hui melangkah ke pusingan pertama kejohanan Super Siri Terbuka Malaysia Proton 2011 dengan mudah selepas menewaskan rakan senegara, Lim Khim Wah/Lim Yin Loo 21-18, 21-16.

Dalam perlawanan kelayakan pertama, Kien Keat/Eei Hui berjaya menyekat kemaraan pasangan dari Indonesia Trikusuma Wardhana/Nadya Melati 21-18, 21-16.

Di sebalik kemenangan itu, mereka tidak meletakkan sebarang sasaran tinggi dalam acara tersebut dan hanya mahu tampil melakukan persembahan terbaik di gelanggang sendiri.

"Kami enggan meletakkan sasaran terlalu tinggi. Secara mentalnya, kami sudah bersedia, fokus dan bermain lebih bagus di sini. Tekanan kurang dirasai dalam acara ini berbanding acara beregu," katanya ketika ditemui pemberita selepas tamat perlawanan di sini.

Peminat badminton tanahair tentunya mahu melihat pasangan itu mengulangi kejayaan sama seperti ketika di New Delhi, India tetapi Kien Keat dilihat lebih memberikan tumpuan untuk mengekalkan kejuaraan acara beregu lelaki yang dimenanginya bersama Tan Boon Heong pada tahun lalu.

Menurut Kien Keat, secara realistiknya peluang untuk memenangi acara itu agak tipis tetapi berbekalkan keupayaan yang mereka miliki sedikit sebanyak mampu memberi tekanan kepada pasangan pilihan utamakejohanan.

"Kami bukan pasangan pilihan tetapi sekurang-kurangnya mahu mengecewakan salah satu pasangan pilihan dari China," ujar atlet kelahiran Ipoh, Perak itu.

Mengimbau kembali prestasi cemerlang mereka pada Sukan Komanwel, Oktober lalu, Kien Keat mengakui kedua-duanya menaruh azam tinggi untuk memenangi pingat emas dalam acara ini.

"Kami lebih bersedia pada kejohanan itu. Boleh dikatakan kami berasa tertekan hampir dalam setiap perlawanan. Di sana, kami juga ada kalanya tidak bermain dengan bagus," jelasnya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain