suria

Tersingkir Awal, Wei Feng tetap puas hati

KUALA LUMPUR: Meskipun terpaksa pulang lebih awal, pemain muda perseorangan negara, Chong Wei Feng tetap berpuas hati dengan corak permainannya pada perlawanan pusingan pertama kejohanan Super Siri Terbuka Malaysia Proton 2011 yang berlangsung di Stadium Putra Bukit Jalil, di sini pada Selasa.

Wei Feng tewas 16-21, 22-24 kepada Tommy Sugiarto sekaligus meranapkan impiannya untuk mengulangi pencapaian terbaik mara ke suku akhir di gelanggang sama pada edisi lalu.

"Memang saya kecewa tetapi tetap berpuas hati dengan persembahan pada hari ini. Corak permainan saya menunjukkan peningkatan jika dibandingkan dengan tahun lalu di mana saya bermula dengan agak baik dan prestasi sedikit menurun pada akhir tahun," katanya ketika ditemui pemberita selepas tamat perlawanan.

Atlet dari Sungai Petani, Kedah itu nyaris mengheret perlawanan ke set ketiga tetapi kesilapan kecil yang dilakukan pada set kedua menyekat peluangnya untuk mara ke pusingan kelayakan kedua.

"Saya melakukan beberapa kesilapan mudah pada set pertama. Di set kedua, saya cuba bangkit dan keadaan angin sedikit membantu saya melakukan serangan. Namun ia sudah terlambat, nasib tidak menyebelahi saya," ujarnya.

Begitupun, kekalahan itu tidak mematahkan semangat Wei Feng untuk memperoleh keputusan terbaik pada Grand Prix (GP) Kebangsaan yang akan berlangsung di Terengganu bermula 16 Februari dan GP Gold Switzerland, Mac ini.

"Sebagai pengubat kekecewaan ini, saya mensasarkan untuk mara ke peringkat final dan menjuarai kejohanan GP akan datang bagi memperbaiki kedudukan ranking," jelasnya.

Atlet berusia 23 tahun itu kini menduduki ranking ke-74 dunia.

Nasib sama turut menimpa rakan pasukan, Daren Liew yang kecundang di tangan pemain Taiwan, Hsueh Hsuan Yi 21-17, 18-21, 22-20 dalam perlawanan yang berlangsung selama satu jam lapan minit.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain