suria

MSN Tolak Cadangan KOAM Adakan Latihan Di Ranau: Zolkples

KUALA LUMPUR: Majlis Sukan Negara (MSN) memutuskan untuk menolak cadangan Kesatuan Olahraga Amatur Malaysia (KOAM) untuk mengadakan program latihan atlet dengan kos RM3.0 juta di Kompleks Sukan Ranau, Sabah.

Ketua Pengarah MSN Datuk Zolkples Embong berkata tempat latihan yang dikemukakan badan induk sukan olahraga itu tidak sesuai kerana daripada segi geografi, Ranau bukan kawasan tanah tinggi yang sesuai untuk latihan atlet bagi acara berlari.

"Kita tidak mahu bazirkan peruntukan kerajaan untuk program yang tidak memberi kesan kepada pembangunan semua atlet," katanya kepada Bernama ketika diminta mengulas perkembangan cadangan KOAM untuk mengadakan program latihan atletnya di luar Kuala Lumpur bagi persiapan menghadapi Sukan SEA di Indonesia.

Beliau berkata atlet olahraga perlukan pertandingan berbentuk kompetitif dan bukannya menjalani latihan di luar Kuala Lumpur.

Zolkples berkata MSN akan berhati-hati menyalurkan peruntukan kewangan kepada KOAM setelah badan olahraga itu didapati beberapa kali menggunakan peruntukan tidak mengikut cadangan MSN.

"Tahun lepas MSN telah menyalurkan peruntukan besar kepada KOAM bagi program pembangunan atlet tetapi menggunakannya untuk menghantar atletnya bertanding di luar negara," katanya.

MSN, katanya ada menyalurkan peruntukan khas kepada KOAM untuk membeli peralatan bantuan sukan namun mereka tidak membuat pembelian itu dan wang tidak dikembalikan kepada MSN.

Zolkples berkata beliau kecewa dengan kenyataan KOAM yang mendesak atletnya yang masih belajar untuk menyertai program sedangkan ada di antara mereka perlu menghabiskan pengajian tahun ini setelah tujuh tahun menangguh pengajian.

"Tahun ini atlet tidak mempunyai banyak kejohanan penting dan inilah masa bagi mereka untuk menghabiskan baki pengajian di Institut Pengajian Tinggi (IPT) sebelum kembali sibuk dengan kejohanan sukan pada tahun depan," katanya.

Tahun depan atlet negara perlu memberi sepenuh perhatian kepada persiapan menghadapi temasya Sukan Olimpik London, katanya.- BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain