suria

Masalah Kewangan: Ironman Langkawi Ditunda Hingga Mei

KUALA LUMPUR: Kejohanan Ironman Malaysia edisi ke-12 di Pulau Langkawi bulan depan ditunda ke Mei ini berikutan masalah kewangan yang dihadapi oleh penganjur pertandingan itu.

Pengarah kejohanan, Datuk A.Chandrakumanan berkata, pihaknya memerlukan RM3 juta untuk menganjurkan pertandingan bertaraf dunia itu dan telah meminta bantuan Kementerian Belia dan Sukan.

"Memang saya tidak nafikan bahawa penundaan tarikh kejohanan tersebut sedikit sebanyak memberi kesan kepada penyertaan atlet," katanya kepada Bernama di sini, Isnin.

Beliau berharap masalah kewangan yang dihadapi oleh Syarikat Ironman Malaysia Sdn Bhd., selaku penganjur kejohanan, dapat diselesaikan sebelum Mei ini bagi membolehkan pertandingan itu diteruskan.

Ekoran dengan penundaan kejohanan itu, katanya, pihaknya telah meminta World Triathlon Corporation (WTC) membantu menyelesaikan urusan pengiktirafan kejohanan itu.

Ironman Langkawi – kejohanan yang dimulakan pada 2000, dengan memerlukan peserta menamatkan acara renang sejauh 3.8 kilometer, berbasikal sejauh 180.2km dan larian maraton 42.2km dalam tempoh 17 jam bagi memperoleh gelaran Ironman.

Kejohanan di Pulau Langkawi itu menawarkan 35 slot kelayakan bagi pusingan akhir Kejohanan Dunia di Kona, Hawaii. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain