suria

Ditenggelami Populariti Chong Wei, Hafiz Tak Kisah

KUALA LUMPUR: Pemain negara Muhammad Hafiz Hashim tidak pernah terkilan atau terasa hati walaupun ditenggelami populariti pemain peseorangan utama negara Datuk Lee Chong Wei.

Malah, Hafiz, 29, berkata beliau berasa bertuah dapat berlatih bersama-sama pemain nombor satu dunia itu.

"Saya tak kisah semua itu. Kehadiran Chong Wei dalam pasukan menjadi perangsang kepada saya dan pemain lain untuk mengikut jejak langkahnya," katanya kepada Bernama di sini.

Bekas juara All England 2003 itu kini mensasarkan untuk layak separuh akhir Kejohanan Terbuka Malaysia di Stadium Putra, Bukit Jalil, di sini, bermula Selasa.

Beliau akan membuka langkah dengan menentang pemain nombor empat dunia, Chen Long dari China, Rabu ini.

Rekod pertemuan antara kedua pemain itu memihak kepada Chen Long dengan 2-1 malah Hafiz yakin mampu mengatasi pemain berusia 22 tahun itu.

Hafiz, yang menduduki rangking ke-23 dunia, berkata keyakinan itu berdasarkan kelebihan bermain di tempat sendiri.

Sementara itu, Chong Wei akan memulakan cabaran dengan menentang pemain dari pusingan kelayakan manakala Wong Choong Han berdepan dengan pemain Jerman, Marc Zwiebler pada pusingan pertama.

Beregu nombor satu negara Koo Kean Keat/Tan Boon Heong akan memulakan saingan dengan menentang beregu China, Hong Wei/Shen Ye manakala pemain wanita utama negara Wong Mew Choo akan bertemu dengan Lu Lan dari China.

Kejohanan Siri Super bernilai US$400,000 (RM1.28 juta) antara lain turut membariskan juara Olimpik dan juara dunia tiga kali, Lin Dan dari China, juara Olimpik 2004, Taufik Hidayat dari Indonesia. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain