suria

Gelanggang Hoki Ais Dibina Jika Bawa Balik Pingat - Ahmad Shabery

PETALING JAYA: Kementerian Belia Dan Sukan(KBS)berjanji akan berusaha untuk membina sebuah gelanggang hoki ais bertaraf Olimpik sekiranya kontinjen negara berjaya membawa balik pingat dari Sukan Asia Musim Sejuk yang akan berlangsung di Astana, Almaty, Kazakhstan dari 29 Jan hingga 6 Feb ini.

Menterinya Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata beliau bangga dengan inisiatif Persatuan Hoki Ais Malaysia (MIHF) menghantar pasukan negara ke kejohanan tersebut.

"Sudah pasti pihak KBS sedia untuk membantu mengembangkan sukan ini di Malaysia sekiranya mereka mampu buktikan sesuatu di Astana nanti.

"Jika mereka mampu membawa kemenangan dan lagu Negaraku berkumandang di bumi Kazakhstan, kami di KBS akan berusaha mendapatkan peruntukan untuk membina sebuah gelanggang hoki ais bertaraf Olimpik di sini," katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas acara penyerahan Jalur Gemilang kepada Ketua Kontinjen Hoki Ais Malaysia ke Sukan Asia Musim Sejuk Datuk Lee Hwa Beng di sini, Sabtu.

Ahmad Shabery berkata tidak mustahil untuk sukan tersebut menjadi sukan popular dan diminati rakyat Malaysia suatu hari nanti.

"Jika dulu acara berbasikal bukanlah sukan popular tetapi setelah lahirnya jaguh berbasikal negara Azizulhasni Awang yang kerap kali mengharumkan nama negara di peringkat antarabangsa maka KBS telah bina velodrom yang bertaraf antarabangsa untuk acara sukan itu," katanya.

Skuad hoki ais negara dibarisi 20 peserta, antaranya Ahmad Bazli Abu Safian, Allan Yeoh Keong Yau, Andy Chang Yew Ming, Aris Samad Yahaya, Brandon Tan Wai Kin, Edmond Ng Eng Kuan dan Gary Tan Khia Peng.

Mereka dijadualkan bertolak ke Kazakhstan pada 23 Jan ini. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain