suria

Seramai 72 Atlet Olahraga Akan Sertai Sesi Latihan Di Ranau

KUALA LUMPUR: Seramai 72 atlet olahraga dikenalpasti untuk menjalani latihan sebanyak empat fasa yang akan diadakan di Kompleks Sukan Ranau, Sabah bermula bulan depan.

Namun begitu, timbalan presiden Kesatuan Olahraga Amatur Malaysia (Koam) Karim Ibrahim berkata tumpuan utama latihan di kawasan beraltitud tinggi itu ialah kepada 50 atlet elit dan pelapis kebangsaan yang akan menggalas cabaran negara di Sukan SEA di Indonesia November ini.

"Sesi latihan di Ranau terbahagi kepada empat fasa dan setiap fasa dicadangkan selama dua atau tiga bulan, bergantung kepada keperluan. Ia akan diikuti dengan kejohanan, sama ada di dalam atau luar negara bagi mengukur prestasi atlet," katanya kepada pemberita di sini, Khamis.

Beliau berkata demikian pada bengkel 'Periodisasi' anjuran badan induk olahraga itu di Majlis Sukan Negara (MSN) yang disertai 72 jurulatih olahraga dari pasukan elit, pelapis kebangsaan dan pelapis serantau.

Karim berkata bagi sesi pertama latihan di Ranau, tumpuan diberikan kepada atlet dari acara larian jarak jauh dan jalan kaki.

Beliau berkata latihan di Ranau itu sebahagian daripada program `periodisasi' Koam dalam usaha merangkul lebih banyak pingat emas dari Sukan SEA.

Program Periodisasi itu katanya bertujuan untuk merangka latihan intensif dan kejohanan yang perlu disertai atlet sebelum prestasi kemuncak mereka diuji di temasya dwi-tahunan di Indonesia.

"Program periodisasi akan dikendalikan barisan jurulatih yang terdiri daripada Ithnin Mahadi, Istiaq Mubarak, Mohd Man Sahar dan Harun Rasheed," katanya.

Mengenai rungutan beberapa atlet yang perlu menangguhkan pengajian di universiti di Lembah Klang jika terpaksa ke Ranau, Karim berkata jurulatih terlibat akan mencari waktu yang sesuai tanpa mengorbankan pembelajaran atlet.

"Tetapi jangan beri alasan tidak mahu ke Ranau sebab pelajaran tetapi bila dihantar ke luar negara, sanggup pula menangguhkan pengajian," katanya.

Karim bagaimanapun berkata segala perancangan untuk membawa atlet berlatih di Ranau bergantung kepada kelulusan kewangan dari MSN dan Koam menganggarkan kos berlatih di Sabah itu hampir RM3 juta.

"Koam belum menerima jawapan dari MSN. Permohonan telah dihantar pada 10 Disember lepas.

"Jika MSN tidak meluluskannya, Koam akan cuba mencari jalan sendiri untuk membiayai program itu tetapi MSN jangan salahkan Koam jika atlet olahraga gagal menyerlah di Sukan SEA Indonesia," katanya.

Beliau berkata walaupun Koam baru bercadang untuk berlatih di Sabah, beberapa negara seperti Arab Saudi dan Qatar menyatakan hasrat untuk menghantar atlet mereka berlatih di Ranau.

"Jika sebelum ini, kita pernah menghantar atlet berlatih di tempat beraltitud tinggi di luar negara seperti di Kunming, China, mengapa kita tidak menggunakan kemudahan di tanah air sendiri untuk berlatih dengan kos yang lebih kecil?," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain