suria

Enam Pemain Bola Sepak Piala AFF Suzuki Terima Anugerah

KUALA TERENGGANU: Enam pemain bola sepak anak jati Terengganu yang membantu Malaysia menjuarai Piala AFF Suzuki 2010, menerima anugerah daripada Kerajaan Negeri malam tadi.

Anugerah yang disampaikan Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said itu berbentuk satu lot tanah dan wang tunai RM5,000 seorang.

Pemain-pemain berkenaan ialah Mohd Sarbini Alawee Ramli, Mohd Ashaari Shamsuddin, Mohd Muslim Ahmad, Izzat Faris Ramlan, Mohd Faizal Mohamad dan Norshahrul Idlan Talaha.

Ahmad berkata kerajaan negeri sentiasa memberikan komitmen kepada atlet dan berharap lebih ramai lagi anak jati Terengganu berjaya pada masa akan datang.

Ahmad turut menasihati para pemain yang akan mewakili Terengganu dalam pertandingan Liga Malaysia supaya lebih berdisiplin dan tidak bersikap mudah berpuas hati dengan pencapaian mereka untuk memastikan negeri itu mampu muncul sebagai satu kuasa baru dalam sukan bola sepak.

"Saya minta pihak pengurusan tidak berkompromi dengan pemain-pemain yang tidak berdiplin ini dan bertindak tegas terhadap mereka, tanpa mengira status," katanya selepas majlis penghargaan kepada pemain Terengganu yang mewakili Terengganu dalam Piala AFF Suzuki dan majlis menandatangani kontrak dua pasukan Terengganu.

Pasukan Terengganu dan pasukan T'Team akan mewakili Terengganu musim ini.

Ahmad berkata antara langkah yang boleh diambil termasuk memperkenalkan sistem potong elaun atau gaji terhadap pemain-pemain yang ponteng latihan atau sengaja mencari masalah sewaktu perlawanan sehingga dilayangkan kad merah atau kuning.

Beliau turut melahirkan harapan untuk melihat kedua-dua pasukan Terengganu itu membawa pulang satu daripada piala dipertandingkan bagi mengakhiri penantian lebih 10 tahun untuk menjadi juara.- BERNAMA

Artikel Lain