suria

Keputusan Program Latihan Di Ranau Ditentukan Jumaat Ini - KOAM

KUALA LUMPUR: Keputusan sama ada Kesatuan Olahraga Amatur Malaysia (KOAM) akan membawa atlet berlatih di Ranau, Sabah akan diketahui Jumaat ini selepas presidennya sendiri meninjau kemudahan dan infrastruktur di sana.

Presiden KOAM, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata pihaknya telah membuat perbincangan bersama ahli majlis dan akan membuat lawatan kerja sebelum membuat keputusan akhir berhubung cadangan menempatkan atlet di Kompleks Sukan Ranau.

"Saya bersama wakil Majlis Sukan Negara (MSN) akan berlepas ke sana (Ranau) dalam tempoh sehari dua ini bagi melihat sendiri kemudahan di kawasan terbabit.

"Sekiranya ia dirasakan sesuai, kita akan teruskan perancangan ini namun kita perlu mendapatkan pandangan dan cadangan yang terbaik daripada beberapa pihak untuk mengelakkan kekusutan berlaku nanti," katanya ketika dihubungi Bernama di sini Selasa.

KOAM pada dua hari lepas membuat keputusan untuk mengalihkan venue latihan atlet mereka daripada Kompleks Sukan Negara (KSN) ke Kompleks Sukan Ranau atas alasan di Bukit Jalil sering terganggu. Mengenai saranan Menteri Belia dan Sukan Datuk Ahmad Shabery Cheek semalam agar KOAM mengemukakan terlebih dahulu permohonan mereka untuk Ranau kepada MSN, Shahidan berkata perkara tersebut akan dilakukan kemudian selepas meninjau kesesuaian Ranau.

"Kita hanya mencadangkan sahaja tetapi keputusan muktamad masih belum dibuat...kami tetap akan memudahkan kerja ini agar prestasi atlet dapat dipulihkan," katanya.

Shahidan berkata program tersebut akan dilaksanakan selewat-lewatnya pada bulan depan bagi merangka satu program khas bagi persediaan atlet ke Sukan SEA Indonesia, 11 hingga 20 November ini.

"Program yang akan diterajui Harun Rasheed (Ketua Jurulatih) ini adalah program jangka masa panjang dan ia masih dalam peringkat percubaan.

"Kita mahu menyediakan platform ini kepada atlet dan tidak ada salahnya jika mereka mencuba kerana sasaran kita adalah untuk mengatasi jumlah pungutan pingat Sukan SEA Laos lalu," katanya.

Pada Sukan SEA Laos, skuad olahraga hanya membawa pulang enam pingat emas daripada 10 yang disasarkan Shahidan.

"Kita juga sudah memikirkan beberapa alternatif untuk membiayainya kerana masih belum menerima maklum balas daripada MSN biarpun sudah dimaklumkan mengenai program itu sejak sebulan yang lalu," katanya.

Beliau berkata mengikut perancangan KOAM tahun ini, atlet yang terpilih di bawah program itu akan menyertai sekurang-kurangnya lima pertandingan tempatan dan lebih 10 pertandingan luar negara sebaik Fasa 1 dijalankan. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Trofi Ballon D'Or Milik Messi

Artikel Berikut

Artikel Lain