suria

Kelly Terus Ungguli Kejohanan Golf Terbuka Amatur Selangor

KUALA LUMPUR: Pemain golf remaja sensasi Kelly Tan terus mendahului kejohanan golf Terbuka Amatur Selangor bagi ketegori wanita selepas membuat 1-bawah par 71 hari ini untuk mengumpul mata 3-bawah par 141 selepas dua pusingan, di Perangsang Templer Golf Club.

"Saya bermain baik sepanjang kejohanan, tetapi saya terlepas beberapa putt. Saya rasa ia berpunca daripada padang yang basah ekoran hujan sejak akhir-akhir ini," kata Kelly yang merupakan pemain terbaik Malaysia pada kejohanan sulung Sime Darby LPGA Malaysia tahun lalu, dalam satu kenyataan.

Mengenai pusingan akhir esok, pemain berusia 17 tahun ini dari Batu Pahat, Johor berkata beliau akan terus bermain dengan baik dan mempertahankan kejuaraan buat kali ketiga berturut-turut.

Mengekori di belakang Kelly dengan sembilan pukulan ialah Viviene Chin, Nur Durriyah Damian dan Fariza Izanie yang mengumpul mata yang sama 6 atas par 150 selepas dua pusingan.

Bagi kategori lelaki pula, tiga pemain berkongsi kesudukan pendahulu selepas dua pusingan.

Low Khai Jei, Kenneth De Silva dan Jonathan Woo masing-masing membuat par 144. Pendahulu sebelum ini, Gavin Kyle Green hanya menduduki tempat kesembilan dengan pukulan 6 atas par 78 dan mengumpul 147 mata.

Hanya 40 pemain teratas lelaki dan 20 pemain teratas wanita layak ke pusingan akhir di mana juara kategori lelaki akan menjulang trofi Sultan Sallehudin Abdul Aziz Shah sementara juara kategori wanita akan menerima trofi kejohanan Tuanku Ampuan Najihah. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Trofi Ballon D'Or Milik Messi

Artikel Berikut

Artikel Lain