suria

Keputusan Perlu Dibuat Demi Kepentingan Negara: Ahmad Shabery

PUTRAJAYA: Apa jua keputusan yang diambil jurulatih perseorangan negara, Datuk Misbun Sidek sama ada mahu kekal dengan keputusan beliau atau sebaliknya mestilah dilakukan untuk kepentingan negara.

Demikian tegas Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek ketika ditemui pemberita di Menara Kemeterian Belia dan Sukan selepas bertemu Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Datuk Seri Nadzmi Mohd. Salleh untuk berbincang mengenai beberapa isu melibatkan persatuan itu khususnya peletakan jawatan Misbun.

"Kita tahu tidak banyak sukan di negara ini seperti badminton yang cemerlang sehingga ke peringkat dunia. Kita tidak mahu keputusan yang dibuat kelak boleh memalapkan masa depan sukan itu.

"Saya tidak mahu perpecahan kerana ia tidak menguntungkan. Kalau boleh apa saja keputusan yang dibuat mestilah berdasarkan kepentingan nasional semata-mata," katanya ketika ditanya mengenai pandangan peribadinya terhadap tindakan Misbun.

Menurut Ahmad Shabery, beliau tidak menolak satu pertemuan akan diatur di antara Datuk Nadzmi dan Misbun sekiranya ia perlu dilakukan.

Bagaimanapun beliau memberitahu pertemuan sesama mereka mestilah dilakukan atas dasar persetujuan dan keikhlasan bersama.

Sementara itu, mengulas mengenai isu pemecatan jurulatih karate kebangsaan, P. Arivalagan, Ahmad Shabery berkata, beliau akan mendapat laporan lebih jelas mengenai perkara itu daripada Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Zolkples Embong.

"Pada pendapat kami, karate adalah satu badan sukan yang menerima dana tertinggi daripada kerajaan. Jadi kerajaan berhak campur tangan untuk mengetahui perkara sebenar yang berlaku dalam persatuan itu," jelasnya.

Katanya, MSN akan bertanggungjawab memantau perkembangan isu Arivalagan sebelum menjelaskan situasi sebenar kepada beliau.

Pemecatan Arivalagan menyebabkan atlet karate negara mengancam untuk meninggalkan skuad kebangsaan jika Persekutuan Karate Malaysia (MAKAF) kekal dengan keputusan mereka.

Tindakan MAKAF itu dianggap tidak relevan jika mengambil kira kejayaan Arivalagan membimbing skuad negara membawa pulang dua pingat emas pada Sukan Asia di Guangzhou, November lalu.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Ferguson Belum Puas Hati

Artikel Lain