Terengganu Sedia RM5 Juta Untuk Kejar Juara Liga Musim Ini - Sukan | mStar

Terengganu Sedia RM5 Juta Untuk Kejar Juara Liga Musim Ini

KUALA TERENGGANU: Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) telah memperuntukan bajet RM5 juta dalam usaha memburu kejuaraan dalam kancah Liga Malaysia yang akan bermula pertengahan bulan ini.

Pengurus pasukan Terengganu, Datuk Che Mat Jusoh, berkata peruntukan tahun ini adalah tambahan RM1 juta berbanding RM4 juta yang dibelanjakan untuk mempersiapkan pasukan menghadapi Liga Super.

Katanya Terengganu telah mensasarkan untuk meraih Piala Malaysia dan Piala Liga Super musim ini.

"Kita yakin dapat mencapai matlamat itu memandangkan semangat dan prestasi pemain yang begitu memuncak," katanya kepada pemberita selepas majlis meraikan pemain Terengganu yang membantu negara menjulang Piala Suzuki AFF 2010, di sini, Selasa.

Antara yang diraikan ialah Mohamad Ashari Samsuddin, Mohd Sarbinee Alawee Ramli, Mohd Muslim Ahmad, Izzaq Faris Ramlan dan Mohd Faizal Muhammad bersama keluarga masing-masing.

Seorang lagi pemain Terengganu yang turut membantu menjulang piala itu Norshahrul Idlan Talaha tidak hadir dalam perjumpaan itu.

Che Mat, yang juga presiden PBSNT, berkata Terengganu juga akan mendapat khidmat beberapa pemain berwibawa yang diyakini dapat mengukuhkan lagi pasukan.

Antara pemain itu termasuklah penyerang dari Kelantan Md Ailim Fahmi Kamaruddin, pemain tengah daripada Perak, Shafuan Adli Shaari dan Reeshafiq Alwi dari KL Plus FC.

Che Mat berkata pemain telah menunjukkan prestasi yang membersangkan dalam semua posisi dalam beberapa siri ujian yang telah diadakan bagi memilih pemain menyarung jersi Terengganu musim ini.

Selain sesi latihan, katanya, pemain juga mendapatkan suntikan daripada pakar motivasi bagi menguatkan mental dalam menghadapi pertandingan liga musim ini.- BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

United Mulakan Tahun Baru Dengan Cemerlang

Artikel Berkaitan

default image

Mahu Angkat Kaki, Hafiz Minta Restu BAM

default image

Suhardi Bakal Ketuai Pasukan Malaysia

Artikel Lain