suria

Tanpa Arivalagan Kami Akan Keluar Dari Skuad Kebangsaan: Kunaselan

KUALA LUMPUR: Majoriti atlet karate bersetuju untuk keluar dari skuad kebangsaan sekiranya Persekutuan Karate Malaysia (Makaf) kekal dengan keputusaan untuk tidak menyambung kontrak jurulatih kebangsaan, P. Arivalagan.

Salah seorang atlet, L. Kunaselan berkata, beliau dan rakan-rakanya terkejut serta kecewa dengan tindakan yang diambil oleh Makaf dan berharap badan induk itu akan mengubah keputusan tersebut sebelum ianya terlambat.

"Arivalagan telah banyak membantu kami daripada tahap awal hinggalah ke hari ini. Tanpa beliau kami mungkin tidak akan berada di tahap sekarang," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Kunaselan berkata, mereka telah berbincang sesama sendiri dan mengambil keputusan untuk menarik diri jika Makaf masih kekal dengan keputusannya untuk menamatkan khidmat Arivalagan berkuat kuasa 31 Disember lalu.

Katanya, anggota skuad kebangsaan yang mempunyai 20 atlet, termasuk sembilan atlet elit, akan mengadakan perjumpaan dengan pegawai Makaf Khamis ini bagi membincangkan isu Arivalagan.

Kunaselan, antara empat nama awal yang disenaraikan untuk mengalas cabaran negara ke Sukan Asia di Incheon, Korea Selatan pada 2014, berkata Arivalagan bukan hanya seorang jurulatih yang tegas tetapi sering mengambil berat keperluan semua anak didiknya.

Katanya, adalah tidak wajar bagi Makaf memberi alasan mengambil jurulatih dari Iran bagi tujuan untuk meningkatkan tahap pencapaian skuad kebangsaan ke peringkat yang lebih tinggi.

"Arivalagan berjaya bimbing skuad negara membawa pulang dua pingat emas dari Sukan Asia, Guangzhou pada Nov lalu. Adalah tidak adil sekiranya jasa beliau seolah tidak dapat dilihat oleh pihak Makaf," katanya.

Di Guangzhou, Malaysia di bawah bimbingan Arivalagan menang dua pingat emas yang disumbangkan oleh Ku Jin Keat dalam acara Kata lelaki dan R. Puvaneswaran dalam acara Kumite lelaki bawah 55kg.

Arivalagan juga berjaya membimbing atlet kebangsaan memenangi sejumlah lapan pingat emas pada Sukan SEA 2007 dan Sukan SEA 2009. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain