suria

Skuad Badminton Mungkin Bebas Berlatih Pada Masa Depan

SUBANG JAYA: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mungkin mengkaji sama ada pembangunan badminton negara akan terus bergantung kepada Persatuan Badminton Malaysia (BAM) atau bersifat lebih liberal dengan membenarkan mana-mana pemain atau jurulatih mempunyai sistem mereka sendiri.

"Saya memikirkan beberapa kemungkinan memandangkan kita hanya menggunakan satu modul saja selama ini. Semua pemain dan jurulatih bergantung sepenuhnya kepada sistem yang ditetapkan BAM," kata Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek

Ahmad Shabery ketika ditemui pemberita selepas melancarkan Pasukan Rali Proton Motorsports untuk musim 2011 di Pusat Kecemerlangan Proton di sini pada Selasa.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai isu perletakan jawatan jurulatih badminton kebangsaan, Datuk Misbun Sidek yang terus menjadi tanda tanya sejak minggu lalu.

Bagaimanapun, Ahmad Shabery berkata, pendekatan itu hanya akan dilaksanakan bergantung kepada hasil perbincangan di antara KBS, BAM dan beberapa pihak lain.

Mengambil contoh konsep profesionalisme dalam sukan tenis, Ahmad Shabery berkata, tenis antarabangsa membolehkan semua pemain profesional mempunyai jurulatih sendiri dan bebas menyertai pertandingan atas kemahuan sendiri.

Maka, pemain dan jurulatih tidak akan terikat dengan mana-mana badan persatuan melainkan jika ada pertandingan melibatkan negara.

"Itu modul yang ditekankan dalam sukan tenis dan golf. Mungkin ia juga antara beberapa modul yang akan kita fikirkan untuk skuad badminton negara bagi mencari satu sistem yang lebih terbuka selepas ini," ujarnya.

Mengulas mengenai tindakan mengejut Misbun itu, Ahmad Shabery memberitahu beliau tidak tahu punca sebenar yang mendorong peletakan jawatan bekas jaguh badminton negara pada era 80-an berkenaan termasuk sejauh mana kebenaran timbul masalah di antara beliau dengan BAM.

"Saya masih lagi menunggu kepulangan Presiden BAM, Datuk Seri Nadzmi Mohd Salleh dari luar negara untuk berbincang mengenai perkara ini. Tiada masalah yang tidak boleh diselesaikan. Saya yakin isu ini akan diuruskan dengan baik," katanya.

Ahamad Shabery berkata, satu pertemuan dengan BAM dan Misbun sendiri akan diaturkan dalam tempoh terdekat bagi mengenal pasti punca sebenar kemelut yang berlaku bagi memastikan kedudukan negara dalam bidang sukan badminton tidak terjejas.

Minggu lalu, Datuk Misbun mengejutkan ramai pihak apabila menghantar email ke BAM berhubung peletakan jawatannya yang berkuatkuasa 31 Disember 2010.

Sehingga kini, Misbun enggan mendedahkan punca sebenar beliau bertindak demikian malah lebih selesa mengambil sikap berdiam diri.

Artikel Sebelum

Artikel Lain