suria

Pulau Pinang Anjur Kayuhan Kuning LTdL 2011

GEORGE TOWN: Jabatan Belia dan Sukan Pulau Pinang akan menganjurkan acara perlumbaan "Kayuhan Kuning" pada 15 Januari ini sempena perlumbaan Le Tour De Langkawi (LTdL) 2011 yang bermula 23 Januari ini.

Pengarahnya Abdul Jalil Abdul Rashid berkata seramai 500 peserta akan mengambil bahagian dalam acara sehari itu bagi memeriahkan promosi LTdL 2011 di negeri itu, Rabu.

Katanya acara berkayuh basikal sejauh 10km itu akan diadakan di Dataran Dewan Ahmad Badawi di Butterworth.

Selain acara kayuhan, katanya, pelbagai acara menarik seperti pertandingan 'Battle of the Band', 'Aerobaton', 'Senamrobik' dan cabutan bertuah turut diadakan di dataran tu.

Mereka yang berminat menyertai "Yellow Ride LDTL 2011" itu boleh mendapatkan borang penyertaan di pejabat Jabatan Belia dan Sukan Negeri, Sekretariat LTdL ataupun menerusi laman web www.ltdl.com.my sebelum 10 Jan ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi LTdL 2011, Mohamed Salleh berkata sebanyak 23 pasukan telah mengesahkan penyertaan pada edisi ke-16 yang menawarkan hadiah keseluruhan RM1 juta.

Perlumbaan 10 peringkat itu akan bermula di Dataran Helang, Pulau Langkawi pada 23 Jan dan berakhir di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur, pada 1 Feb ini.-BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain