suria

KBS Minta BAM Dan Misbun Beri Penjelasan

PUTRAJAYA: Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek masih menunggu penjelasan daripada Persatuan Badminton Malaysia (BAM) bagi mencari punca terhadap tindakan mengejut Datuk Misbun Sidek meletak jawatan sebagai jurulatih perseorangan lelaki kebangsaan.

Ahmad Shabery berkata beliau akan bertemu dengan Presiden BAM, Datuk Seri Nadzmi Mohd Salleh yang akan pulang ke tanah air dalam masa terdekat ini bagi mendapatkan penjelasan sebelum beliau bertemu dengan Misbun.

"Masih terlalu awal untuk kita buat andaian dan dalam masa sehari dua ini saya sengaja membiarkan perkara ini berlalu bagi membolehkan kedua-dua pihak mendapat pertimbangan yang sewajarnya bagi menyelesaikan perkara ini," katanya kepada pemberita di pejabatnya, Isnin.

Beliau berkata sebelum mengambil apa-apa tindakan, kementerian berkenaan ingin mencari punca masalah tersebut tanpa menyalahkan mana-mana pihak.

"Setelah mendapat pejelasan daripada kedua-dua pihak barulah kita cari jalan bagi menyelesaikan masalah tersebut. "Apa pun keputusaan yang bakal dibuat nanti mestilah tidak membelakangkan kepentingan negara kerana badminton adalah salah satu daripada acara sukan yang dijangka mampu memberi sumbangan pingat kepada negara pada Sukan Olimpik London pada 2012 nanti," katanya.

Ahmad Shabery berkata beliau tidak menyalahkan pemain perseorangan nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei mengambil keputusaan untuk keluar daripada BAM kerana faham dengan tekanan yang bakal dihadapinya.

"Sudah pasti Chong Wei akan rasa tertekan apabila jurulatih yang dianggap sebagai bapanya sendiri membuat keputusan untuk letak jawatan.

"Namun sebagai jurulatih yang diberi amanah oleh negara, Misbun sewajarnya memberi keutamaan kepada kepentingan negara sebelum melakukan keputusan tersebut," katanya.

Semalam media tempatan hangat menyiarkan berita tindakan Misbun menghantar surat peletakan jawatan bertarikh 31 Disember lepas kepada BAM, yang telah mencetus pelbagai persoalan dan tanda tanya punca beliau sanggup mengambil tindakan tersebut.

Rasa tidak puas hati terhadap pelantikan Datuk James Selvaraj sebagai Pengarah Prestasi Tinggi BAM dikatakan sebagai salah satu daripada punca utama yang menyebabkan Misbun membuat tindakan tersebut. - BERNAMA

Artikel Lain