suria

Misi Dua Bekas Jaguh Triathlon Negara Pecah Rekod Kayuh Basikal Paling Jauh

KUALA LUMPUR: Dua bekas jaguh trialton negara telah memulakan misi hari ini untuk memecahkan rekod dalam 'Malaysia Book of Records' bagi ekspedisi mengayuh basikal paling jauh oleh dua pengayuh merentasi Malaysia dan Brunei dalam tempoh 29 hari.

Stephanie Chok, 29, dan Heidilee Mohamad, 27 akan melakukan cubaan berbasikal sejauh 5,457km bagi mengatasi rekod 4,547km yang dipegang oleh dua anggota tentera pada 2009.

Heidilee, yang memainkan peranan sebagai pengemudi basikal jenis tandem itu, berkata ekspedisi itu juga bertujuan menjana minat di kalangan rakyat Malaysia untuk menjadikan aktiviti berbasikal sebagai gaya hidup dan kesedaran memakai pakaian dan alat perlindungan yang sesuai.

"Kedua-dua kami pernah terlibat dalam kemalangan teruk sebelum ini...tulang kami patah. Sebab itu kami mahu memaklumkan kepada orang ramai tentang keselamatan semasa di jalan raya dan pada masa sama mewujudkan kesedaran terhadap usaha melindungi alam sekitar," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita sebelum ekspedisi itu dilepaskan oleh pengarah urusan Universal Fitness and Leisure (UFL) Datuk Radha Krishnan di sini.

Ekspedisi itu akan berakhir di Kota Kinabalu, Sabah, pada 31 Januari ini.

Sementara itu, Chok berkata mereka mensasarkan untuk meliputi jarak 200km setiap hari dan akan berhenti rehat pada pukul 5 petang sebelum menyambung semula perjalanan pada pagi keesokannya.

Ditanya mengenai persiapan mereka, katanya, mereka sedang menjalani latihan dengan menggunakan basikal jenis tandem sejak awal Disember lalu bagi memastikan mereka sesuai dengan menggunakan sebuah basikal untuk dua orang pengayuh. - BERNAMA

Artikel Lain