suria

Misbun Letak Jawatan Sebagai Jurulatih Perseorangan Lelaki

KUALA LUMPUR: Jurulatih perseorangan lelaki kebangsaan, Datuk Misbun Sidek meletakkan jawatan sebagai jurulatih perseorangan lelaki pasukan badminton kebangsaan, Sabtu.

Keputusan beliau mengejutkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) malah mengundang beberapa pemain kebangsaan menarik diri dari BAM.

Ini termasuk pemain nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei.

Tindakan Misbun meletakkan jawatan dilihat tidak kena pada masanya kerana Chong Wei dan beberapa pemain lagi sedang membuat persiapan untuk tiga pertandingan utama pada bulan ini.

Tiga pertandingan tersebut ialah Super Series Masters Finals di Taiwan (5-9 Januari), Terbuka Malaysia (18-23 Januari) dan Terbuka Korea (25-29 Januari).

Mungkin timbul kesan-kesan yang merumitkan terutama membabitkan Chong Wei kerana pemain itu disasarkan melakar kejayaan pada Kejohanan Dunia tahun ini selain Sukan Olimpik di London tahun hadapan.

Pengurus Besar BAM, Kenny Goh semalam mengesahkan Misbun meletakkan jawatan menerusi satu surat bertarikh 31 Disember yang dihantar melalui e-mel ke pejabat BAM.

Bagaimanapun, Kenny enggan mengulas sebab-sebab Misbun berbuat demikian.

"Misbun tidak memberikan apa-apa sebab tetapi ada menyatakan peletakan jawatannya adalah berkuat kuasa mulai 3 Januari. Secara peribadi, saya terkejut menerima surat berkenaan.

"Saya telah memaklumkan perkara itu kepada Presiden Datuk Seri Nadzmi (Mohd Salleh) dan setiausaha, Ng Chin Chai. Saya juga telah menghantar semula surat itu kepada semua ahli jawatankuasa BAM," kata Kenny.

Menurutnya, satu mesyuarat akan diadakan selepas Nadzmi kembali dari luar negara pada 4 Januari.

"Masih terlalu awal bagi kami untuk mengulas sebab-sebab Misbun meletakkan jawatan. Kami masih terkejut," jelasnya.

Bukan lagi rahsia Misbun tidak gembira berikutan rombakan yang dibuat oleh BAM terhadap struktur bimbingan dan latihan sejak lima bulan lalu.

Dalam usaha memperkasakan struktur tersebut, BAM meletakkan Misbun di bawah pasukan elit yang kendalian adiknya, Rashid.

Lebih mendukacitakannya, dua pemain yang sebelum ini di bawah kendaliannya iaitu anaknya Misbun Ramdan dan Wong Mew Choo telah diasingkan daripadanya.

Ramdan diletakkan di bawah jagaan Hendrawan dalam skuad pelapis manakala Mew Choo dikendalikan jurulatih perseorangan wanita kebangsaan, Wong Tat Meng.

Ramdan bagaimanapun, belum melaporkan diri kepada Hendrawan untuk menjalani latihan. Dia berlatih dengan gigih di bawah kendalian ayahnya dan ini mengecewakan BAM.

Selain itu, penolong jurulatih Misbun, Teh Seu Bock turut digugurkan. Selepas rayuan dibuat oleh Misbun dan Chong Wei, Seu Bock kembali berkhidmat di skuad elit.

Malah, Seu Bock akan menemani Chong Wei ke Taiwan untuk menyertai Super Series Masters Finals, hari ini.

Misbun juga tertekan ekoran prestasi kurang memberangsangkan daripada beberapa pemain pelapis. Mereka ialah Liew Daren, Tan Chun Seang, Chang Kwong Beng dan Chong Wei Feng.

Perkara tersebut dibincangkan semasa mesyuarat jawatankuasa bimbingan dan latihan pada Khamis lalu.

Kenny bagaimanapun, sangsi tindakan Misbun meletakkan jawatan adalah berpunca daripada mesyuarat tempoh hari.

"Ia seperti kebanyakan mesyuarat biasa yang lain. Kami berbincang tentang semua laporan jurulatih. Semua jurulatih hadir kecuali Rexy Mainaky (jurulatih beregu). Ia adalah mesyuarat yang baik," kata Kenny.

Ditanya mengenai sama ada keputusan Misbun itu akan mendorong pemain-pemain lain untuk menarik diri, Kenny berkata: "Misbun ialah jurulatih profesional. Dia telah mempertimbangkan keputusannya dan sentiasa mengutamakan kepentingan negara. Saya tak fikir ia akan berlaku.

"Kita tidak boleh mengatakan peletakan jawatan Misbun ialah satu kehilangan besar kerana kami masih belum menerima keputusannya. Biarlah Nadzmi dan ahli jawatankuasa yang lain mengkajinya terlebih dahulu," katanya.

Di bawah tunjuk ajar Misbun, pemain perseorangan lelaki Mohd Hafiz Hashim memenangi All-England pada 2003 dan Chong Wei merangkul kejuaraan sama yang juga merupakan edisi ke-100, tahun lalu.

Chong Wei turut memenangi pingat perak pada Sukan Olimpik di Beijing pada 2008

Artikel Sebelum

Artikel Lain