suria

Beckham Selangkah Sertai Spurs

DAVID Beckham (gambar) akan menyertai Tottenham Hotspur secara pinjaman dari Los Angeles Galaxy, menurut laporan beberapa media di luar negara.

Pengurus Spurs, Harry Redknapp mengesahkan pada Sabtu bahawa Beckham setuju menyarung jersi kelab itu buat sementara waktu.

Bekas pemain tengah Manchester United itu berkata, dia mahu beraksi untuk Spurs selepas menyaksikan persembahan mantap pasukan tersebut menewaskan Fulham 1-0 dan menduduki tempat keempat dalam carta kedudukan Liga Perdana Inggeris (EPL).

Laporan akhbar pada Ahad mendedahkan perpindahan Beckham semakin hampir direalisasikan sekali gus menjadikan pemain berusia 35 tahun itu bakal menerima pendapatan tertinggi di White Hart Lane selama tiga bulan.

Perpindahan secara pinjaman itu akan disempurnakan ketika Spurs bertemu United pada 16 Januari ini.

Kempen MLS akan bermula semula pada 15 Mac dan bekas kapten England itu turut beraksi bersama Milan secara pinjaman ketika musim rehat MLS pada 2009 dan 2010.

"Kami perlu bertindak pantas. Saya menyerahkan perkara itu kepada kelab. Mereka akan berbincang dengan pihak sepatutnya berhubung perpindahan Beckham," ujar Redknapp.

Redknapp memberitahu Pengarah Pentadbiran Bola Sepak Spurs, Darren Eales cuba memujuk Galaxy untuk membenarkan Beckham menyertai kelab yang mara ke kelompok 16 akhir Liga Juara-Juara Eropah itu.

"Kami ada menghubungi LA Galaxy untuk memastikan bahawa mereka membenarkan perpindahan Beckham selama tiga bulan. Kami begitu teruja untuk mendapatkan khidmat pemain tengah berbisa itu," tambahnya.

Artikel Sebelum

Artikel Lain