suria

Landbouwkrediet Bawa Sentuhan Belgium Ke LTdL 2011

KUALA LUMPUR: Kejohanan berprestij Le Tour de Langkawi (LTdL) tahun ini akan menerima kembali "sentuhan" pasukan Belgium selepas empat tahun menghilang melalui penyertaan Landbouwkrediet dalam jelajah berstatus kategori Hors mulai 23 Januari ini hingga 1 Februari.

Pasukan Landbouwkrediet membuat kemunculan pertama pada LTdL 2001 dan pada ketika itu dikenali dengan nama Saxon dan kemudian Tonissteiner.

Pengasas pasukan itu Gerard Bulens berkata pasukannya mahu menyenaraikan ramai pelumba pecut bagi membina kekuatan di LTdL 2011 seterusnya persiapan menjelang perlumbaan Jelajah Eropah musim 2011.

"Kita mempunyai gabungan pelumba muda dan berpengalaman yang akan diketuai pelumba berumur 37 tahun, Geert Verheyen yang menduduki tempat kedua di GP Frankfurt pada tahun ini (2010) yang akan membimbing rakan pelumba muda lain," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan penganjur LTdL.

Selain Verheyen, lima lagi pelumba yang tersenarai ialah Davy Commeyne, Sebastien Delfosse, Benjamin Gourgue, Baptiste Planckaert dan Joeri Stallaert, yang akan dikendalikan oleh Marco Saligari selaku pengurus pasukan.

Ketua Pegawai Eksekutif LTdL 2011 Mohamed Salleh pula berkata Belgium adalah negara penting dalam dunia perlumbaan berbasikal dan kehadiran sebuah pasukan dari negara itu mampu menarik liputan meluas media di sana.

"Landbouwkrediet akan meningkatkan lagi nilai prestij jelajah kebanggaan kita. Kami meramalkan mereka akan menghasilkan keputusan yang bagus sesuai dengan reputasi pasukan itu yang mempunyai ramai pakar pecut. Mereka cukup bermotivasi, jadi saya percaya mereka akan begitu kompetitif," katanya.

LTdL 2011 dianjurkan secara bersama oleh Kementerian Belia dan Sukan dan Persekutuan Berbasikal Kebangsaan Malaysia, meliputi jarak 1,315.4km. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain