suria

Keraguan Aspek Keselamatan Tidak Halang Penyokong Malaysia Ke Jakarta

KUALA LUMPUR: Meskipun ada keraguan berhubung keselamatan pada perlawanan akhir kedua bola sepak Piala AFF Suzuki 2010, sekumpulan 300 penyokong tempatan tetap mahu bersama skuad negara ketika menentang pasukan tuan rumah di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta malam esok.

Peminat dari Selangor, Kelantan dan Johor yang dikumpulkan oleh Kelab Penyokong Bola Sepak Selangor (SSFC) dan Gerbang Tempur Penyokong Bola Sepak Malaysia (Ultras Malaya) berlepas ke Jakarta hari ini, bagi menemani skuad kebangsaan apabila berdepan Indonesia yang mereka tewaskan 3-0 pada Ahad lepas.

Presiden SSFC Mohd Nasir Mohd Yunus berkata kehadiran penyokong negara di sana itu telah dimaklumkan kepada Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta sebagai jaminan keselamatan.

"Penyokong Malaysia tidak perlu takut kerana kekalutan mungkin hanya berlaku ketika perlawanan sahaja dan tidak akan merebak di luar stadium namun saya ingatkan penyokong negara agar sentisa berwaspada," katanya ketika dihubungi Bernama pada Selasa.

Hari ini beberapa akhbar Indonesia melaporkan bahawa penyokong Malaysia tidak berani hadir untuk memberi sokongan kepada pasukan Harimau Malaya kerana bimbang dengan keselamatan mereka. Sehingga kini belum diketahui jumlah penyokong Malaysia yang akan bertandang ke stadium tersebut walaupun dilaporkan sejumlah 5,000 tiket telah diperuntukkan untuk mereka.

Menteri Belia dan Sukan Datuk Ahmad Shabery Cheek ketika ditanya Bernama di Jakarta berkata penyokong Malaysia tetap ada namun dijangka tidak seramai penyokong Indonesia semasa perlawanan di Bukit Jalil.

Ahad lepas, kira-kira 15,000 penyokong Indonesia berada di Stadium Nasional Bukit Jalil untuk menyaksikan perlawanan akhir pertama.

Mohd Nasir berkata beliau dan penyokong lain berharap dapat mengiringi kepulangan skuad kebangsaan bimbingan jurulatih K. Rajagopal itu bersama Piala AFF Suzuki.

Sementara itu, kumpulan Ultras Malaya juga akan mengumpulkan peminat bola sepak negara menonton siaran langsung menerusi skrin besar di Restoran Hakim, Seksyen 7, Shah Alam seawal pukul 7 malam esok.

Wakil kumpulan itu, Mohd Azrul Mohd Hussin, 25, berkata mereka berjaya mengumpul lebih 100 penyokong untuk menyaksikan perlawanan separuh akhir kedua ketika Malaysia menentang Vietnam pada 18 Dis lepas dan kali ini berharap lebih ramai akan turut sama. -BERNAMA

Artikel Berikut

2010 Tahun Cemerlang Khairul Fahmi

Artikel Lain