suria

Bekas Bintang Liverpool, Cohen Meninggal Dunia

PEMAIN terbaik Israel pada era 1970-an dan juga bintang Liverpool, Avi Cohen meninggal dunia apabila mengalami kecederaan serius di bahagian kepala selepas terlibat dengan kemalangan.

Cohen, 54, tercampak dari motosikal yang ditunggangnya selepas berlanggar dengan sebuah kereta di Tel Aviv pada 20 Disember lalu.

Doktor mengesahkan Cohen meninggal dunia pada Selasa, menurut anaknya Tamir Cohen yang berada di Hospital Ichilov Tel Aviv.

Tamir yang memperkuat Bolton Wanderers di England berlepas dari Britain ke Tel Aviv untuk melihat keadaan ayahnya.

Karier bola sepak selama 18 tahun Cohen bermula pada 1974 bersama Maccabi Tel Aviv. Dia kemudiannya melakukan 64 penampilan bersama Israel.

Cohen menjadi pemain Israel pertama yang beraksi di England pada 1979 dengan menyertai Liverpool.

Dia melakukan 24 penampilan bersama The Reds menjaringkan satu gol ke atas Aston Villa dan membantu kelab itu menjulang trofi Liga Perdana Inggeris (EPL) pada musim 1979/1980.

Selepas mengemudi Liverpool selama dua musim, Cohen kembali ke Israel dan menyertai semula kelab lamanya, Maccabi Tel Aviv.

Pada 1988 dia berhijrah ke Glasgow Rangers yang dipimpin pengurus Graeme Souness, bekas rakan pasukannya di Liverpool.

Artikel Berikut

2010 Tahun Cemerlang Khairul Fahmi

Artikel Lain