suria

200 Penyokong Malaysia Menonton Dalam Protes Dari Kedutaan Besar Malaysia

JAKARTA: Kecewa dengan lokasi tempat duduk dalam Stadium Gelora Bung Karno serta faktor risiko keselamatan, antara 150 hingga 200 penyokong Malaysia malam ini menonton dalam protes perlawanan akhir kedua Piala AFF Suzuki 2010 Malaysia-Indonesia di layar besar di Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta di sini Rabu.

Presiden Kelab Penyokong Bola Sepak Selangor Mohd Nasir Yunus, 55, yang mengetuai rombongan penyokong pasukan bola sepak Malaysia, berkata kumpulan penyokong Malaysia yang tidak ramai jumlahnya telah menempah tiket di tempat duduk VIP tetapi mereka diberikan tempat duduk di belakang gawang gol di pintu dua.

Mereka juga diletakkan di tengah-tengah para penyokong Indonesia dan berasa tidak selamat untuk berada dalam stadium untuk menonton perlawanan bagi menyokong pasukan Malaysia.

"Kami amat kesal sekali. Kami berasa kami telah dianaktirikan, kami disisihkan dan tidak diberikan keadilan sewajarnya.

"Setelah mengambilkira faktor keselamatan dan perbincangan dengan pihak Kedutaan Besar Malaysia serta persetujuan para anggota rombongan, kita telah mengambil keputusan untuk menonton perlawanan ini dalam protes di Kedutaan Besar Malaysia di sini," katanya kepada Bernama ketika ditemui di Dewan Serbaguna Kedutaan Besar Malaysia di sini.

Mohd Nasir berkata rombongan itu terdiri daripada kira-kira 60 orang yang datang dari Malaysia dan protes mereka malam ini turut disertai para penyokong Malaysia yang berada di Jakarta.

"Kumpulan kami tidak ramai bilangannya, tidak ada masalah jika kami diberikan tiket di tempat duduk VIP. Dalam perlawanan akhir pertama di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 26 Disember lepas, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM)

telah memperuntukkan jumlah tempat duduk VIP yang agak besar kepada penyokong Indonesia yang datang dari Jakarta," katanya.

Mohd Nasir berkata rombongan penyokong Malaysia tiba di Jakarta semalam dan agak terperanjat bila mengetahui PSSI masih tidak dapat memastikan jumlah peruntukan tiket yang boleh diberikan kepada penyokong Malaysia sehingga mereka diberitahu pada pukul 2.30 petang ini bahawa tiket mereka di tempat duduk belakang gawang gol, melalui pintu dua, di tengah-tengah penyokong Indonesia. Alasan yang diberikan Persatuan Sepakbola Seluruh Indonesia (PSSI) bahawa hanya tempat duduk kawasan itu sahaja yang berbaki tidak dapat diterima, katanya.

Mohd Nasir berkata semasa perlawanan akhir pertama di Kuala Lumpur, tempat duduk para penyokong Indonesia yang besar bilangannya dipisahkan daripada tempat duduk penyokong Malaysia, bagi memastikan keselamatan mereka. -BERNAMA

Artikel Berikut

2010 Tahun Cemerlang Khairul Fahmi

Artikel Lain