suria

Sarham Miswan Juara GP Kebangsaan

JASIN: Pelumba Selangor, Sarham Miswan muncul juara kategori lelaki Kejohanan Lumba Basikal Grand Prix Kebangsaan 2010 setelah tamat peringkat keenam dan terakhir di sini, Ahad.

Beliau memungut 43 mata keseluruhan mengatasi pelumba Kuala Lumpur, Suhardi Hassan yang memperolehi 38 mata manakala Mohd Fadhil Anuar Mohd Fauzi dari ATM di tempat ketiga dengan 31 mata.

Dalam peringkat keenam pada Ahad, Amir Mustafa Rusli yang mewakili PDRM muncul di tempat pertama dengan catatan masa 4 jam 29 minit 54 saat menewaskan pelumba handalan Mohd Shahrul Mat Amin yang mewakili pasukan profesional Terengganu Cycling Team yang mencatat 4:29.57 saat.

Suhardi di tempat ketiga dengan masa 4:31.2 saat sementara Sarham yang turut mengungguli peringkat kedua di Johor sebelum ini berada di tangga ke-24 daripada 128 pelumba yang mengambil bahagian.

Kategori wanita menyaksikan pelumba Johor, Noor Azian Alias dan pelumba Kedah, Masziyaton Mohd Radzi masing-masing memungut 80 mata keseluruhan, tetapi Noor Azian diisytihar juara apabila beliau muncul juara sebanyak empat peringkat berbanding Masziyaton yang hanya menjuarai dua peringkat kejohanan.

Hari ini, Noor Azian turut muncul juara selepas menjuarai peringkat pertama di Kedah, kedua di Johor dan ketiga di Selangor.

Masziyaton pula muncul juara peringkat ketiga di Terengganu dan keempat di Sarawak. Hari ini turut menyaksikan saingan hebat antara Noor Azian dan Masziyaton apabila masing-masing mencatat masa 3:41.5 saat, bagaimanapun Noor Azian diisytihar juara melalui 'foto-finish'.

Tempat ketiga dimenangi oleh Suryani Mohamad yang mewakili pasukan Terengganu dengan memungut 40 mata.

Beliau hari ini berada turut menduduki di tempat ketiga dengan catatan 3:46.45 saat dalam perlumbaan enam pusingan sejauh 120km.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam yang melepaskan para peserta turut menyertai "Kayuhan Yellow Ride" bagi mempromosikan kejohanan Le Tour de Langkawi (LTdL) di mana Jasin bakal menjadi kawasan penamat peringkat kelapan kejohanan tahun depan.

Bandar raya Melaka pula akan menjadi venue pelepasan peringkat kesembilan LTdL.

"LTdL tahun depan adalah pemangkin untuk menjadikan Jasin sebagai kawasan tarikan pelancong selaras dengan inisiatif kerajaan negeri untuk meningkatkan aktiviti pelancongan sukan," katanya.- BERNAMA

Artikel Sebelum

West Ham Bangkit Tewaskan Fulham

Artikel Berikut

Artikel Lain