suria

Shabery Harap Piala AFF Permulaan Kebangkitan Bola Sepak Asia Tenggara

SEPANG: Perlawanan akhir Piala AFF-Suzuki 2010 antara Malaysia dan Indonesia di Stadium Nasional Bukit Jalil Ahad, diharap menjadi permulaan kepada usaha kedua negara membangunkan sukan bola sepak di Asia Tenggara, kata Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Beliau berkata perlawanan itu bukan sekadar untuk mencari kemenangan, malah apa yang lebih penting ialah mempersembahkan permainan berkualiti kepada penonton kedua-dua negara.

"Kalah dan menang adalah adat bagi sesebuah pertandingan, namun apa yang perlu lebih diutamakan ialah merapatkan jalinan kerjasama antara kedua negara menerusi medium sukan.

"Kerajaan Malaysia menyambut kedatangan pasukan kebangsaan negara Indonesia dan juga kunjungan lebih 15,000 penyokong dari Indonesia sebagai tetamu kepada negara," katanya kepada pemberita ketika menyambut ketibaan Menteri Pemuda dan Olahraga Indonesia Dr Andi Mallarangeng serta orang kenamaan negara itu," katanya Sabtu.

Ahmad Shabery berkata pertemuan kedua-dua pasukan kebangsaan tersebut juga melakar sejarah tersendiri kerana sudah lama Malaysia tidak bertemu Indonesia di pertandingan peringkat antarabangsa.

"Saya harap selepas ini, hubungan dalam bidang sukan antara kedua negara dapat dimajukan, khususnya dalam usaha untuk membangunkan sukan bola sepak di peringkat Asia Tenggara," katanya.

Sementara itu, Andi berkata kerajaan Indonesia berterima kasih serta berasa bertuah kerana mendapat layanan istimewa daripada kerajaan Malaysia, dan berharap hubungan mesra antara keduanya dapat ditingkatkan.

"Diharap dengan kerjasama ini, dapat merapatkan lagi hubungan baik yang telah lama terbina antara kedua negara," katanya.

Beliau juga berharap tidak akan berlaku sebarang insiden yang mencemari perlawanan esok.-BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain