suria

Tiket Perlawanan Akhir Piala Suzuki Dijual Di Kedutaan Indonesia Hari Ini

KUALA LUMPUR: Para peminat bola sepak Indonesia di negara ini boleh mendapatkan tiket perlawanan akhir saingan pertama Piala Suzuki AFF 2010 antara Malaysia dan Indonesia Ahad ini, di Kedutaan Besar Republik Indonesia di sini mulai Khamis.

Duta Republik Indonesia di Malaysia, Tan Sri Da'i Bachtiar berkata tiket perlawanan, yang diadakan di Stadium Nasional Bukit Jalil, berharga RM50 (berbumbung) dan RM30 (terbuka) akan dijual mulai esok hingga Ahad ini dari pukul 9 pagi hingga 5 petang di pekarangan bangunan kedutaan itu.

"Kami telah bersetuju dengan Setiausaha Jeneral Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI), Nugraha Besoes (penjualan tiket di pekarangan Kedutaan Indonesia) setelah berbincang dengannya pagi ini.

"Ini dilakukan adalah bagi mengelakkan kekeliruan semasa penjualan tiket berjalan," katanya kepada pemberita semasa sidang media mengenai penjualan tiket di Kedutaan Indonesia di sini, Rabu.

Sejumlah 15,000 tiket berharga RM30 dan 500 tiket berharga RM50 diperuntukkan kepada penyokong Indonesia.

Beliau berkata bagi penyokong yang datang dari Indonesia ke Malaysia, mereka juga perlu melalui atau menghubungi Kedutaan Indonesia di Malaysia bagi mengelakkan kesulitan berlaku.

Da'i Bachtiar berkata lapan orang kenamaan Indonesia mengesahkan akan menyaksikan saingan pertama perlawanan akhir Piala Suzuki Ahad ini.

Mereka ialah Menteri Pemuda dan Olah Raga Andi Malarangeng; Menteri Tenaga Kerja dan Transmigrasi Muhaimin Iskandar; Menteri Koordinator Kesejahteraan Rakyat Agung Laksono; Ketua Dewan Perwakilan Rakyat Marzuki Alif; Menteri Kelautan dan Perikanan Fadel Muhammad; Ketua Parti Demokrat Anas Urbaningrum; Ketua Umum Muhamadiyah, Din Syamsudin dan Ketua Mahkamah Konstitusi Mahfud MD.

Menjawab soalan mengenai ganjaran jika pasukan Indonesia berjaya menjulang Piala AFF ini, Nugraha Besoes berkata kerajaan Indonesia bersama PSSI akan memberikan ganjaran 3 bilion rupiah (RM900,000) kepada pemain Indonesia.

"Sebelum ini, PSSI telah memberi ganjaran sejumlah 500 juta rupiah (RM150,000) kerana berjaya masuk ke suku akhir dan 2.5 bilion rupiah (RM700,000) kerana berjaya layak ke final," katanya.

Beliau berkata pasukan bola sepak Indonesia dijadual tiba di negara ini pada hari Jumaat dan akan menetap di Hotel Palace Of The Golden Horses di Serdang.

"Mereka akan terus membuat latihan di Padang Stadium Majlis Sukan Negara (MSN) pada petang itu juga," kata Nugraha Besoes.- BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain