suria

Malaysia Perlu Guna Kelebihan Di Gelanggang Sendiri

KUALA LUMPUR: Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek yakin skuad Malaysia mampu menggunakan kelebihan di gelanggang sendiri apabila menentang Indonesia pada perlawanan akhir pertama Piala Suzuki AFF, di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Ahad ini.

"Saya yakin anak buah (jurulatih) K. Rajagobal boleh buat sesuatu, bukan lagi mengejutkan seperti ketika melawan Vietnam tetapi menyemarakkan bukan saja pemain tetapi penyokong bola sepak negara.

"Kita mungkin 'sejuk' pada permulaan, macam Piala Dunia dulu, Sepanyol mula-mula kalah tetapi akhirnya jadi juara," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Persidangan Majlis Perundingan Belia Negara (MPBN) Sidang Keempat, Penggal ke-27 di sini, Khamis.

Ahmad Shabery berkata momentum pasukan negara semakin meningkat selepas menewaskan juara bertahan Vietnam pada perlawanan separuh akhir sementara momentum pasukan Indonesia pula dilihat semakin menurun sejak akhir-akhir ini.

"Mereka sentiasa menang bermain di tempat yang sama, gelanggang yang sama dan tidak berpeluang untuk membiasakan diri di luar, termasuk ketika melawan Filipina dan inilah pertama kali mereka bermain di luar...jadi inilah kelebihan kita," katanya.

Ditanya mengenai langkah Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI), menjanjikan ganjaran lumayan sebanyak RM1 juta buat skuad negara itu jika muncul juara pertandingan itu, Ahmad Shabery berkata pasukan negara tidak harus hanya mementingkan faktor ganjaran.

"Kita dah bagi pun dalam program pembangunan bola sepak sebanyak RM10 juta dan dari semasa ke semasa kita akan terus bantu. Selain itu ganjaran-ganjaran yang dikumpul oleh Persatuan Penulis-penulis Sukan Malaysia (SAM) dalam Tabung Akujanji Ganjaran Piala AFF 2010 dan sebagainya kalau dihimpun mungkin lebih dari RM1 juta," katanya.

Ahmad Shabery berkata harga tiket sebanyak RM50 bagi tempat duduk berbumbung dan RM30 bagi tempat duduk biasa di Stadium Bukit Jalil tidaklah tinggi seperti dakwaan sesetengan pihak.

Harga tiket bagi tempat duduk berbumbung di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta ialah RM350, jauh lebih mahal dari Bukit Jalil, katanya.- BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain