suria

Kelab Putera 1Malaysia Kembangkan Sukan Tomoi

KUALA LUMPUR: Kelab Putera 1Malaysia merancang memperkenalkan acara sukan dan seni mempertahankan diri tomoi atau Muay Thai kepada generasi muda sebagai aktiviti riadah yang sihat, kata presidennya Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim.

"Walaupun sukan ini berasal dari Thailand tetapi ia kini sudah tersebar luas di seluruh dunia.

"Dulu kita mendekati anak muda kita menghalang aktiviti rempit, sekarang kita akan cuba sukan ini pula. Kita akan tengok dahulu sambutan golongan muda di negara ini sebelum kita jadikannya sebagai sukan elit," katanya.

Program memperkenalkan acara sukan tomoi ke seluruh negara itu akan diadakan secara berperingkat-peringkat bermula tahun depan, katanya pada sidang akhbar memperkenalkan barisan peserta negara dan antarabangsa ke acara "Fight Night" sempena Pameran Seni Mempertahankan Diri Malaysia (AMAE) pada 30 dan 31 Disember ini.

AMAE yang dianjurkan secara bersama oleh Kelab Putera 1Malaysia dan V All Martial Art Gym & Events Sdn Bhd akan melibatkan perlawanan tomoi antara ahli tomoi terbaik Malaysia dan beberapa jaguh dari Thailand, Iran, Palestin dan Amerika Syarikat.

Selain acara tomoi, karnival yang berlangsung di Muzium Telekom, Jalan Raja Chulan itu, juga akan mempamerkan beberapa seni mempertahankan diri yang lain seperti silat, ninjitsu, judo, kendo, wusyu, karate, taekwondo, capoeira dan aikido.

"AMAE adalah satu permulaan. Kita akan menjelajah ke seluruh negara selepas pameran ini untuk mencungkil bakat muda kerana kita tidak mahu mereka yang terbabit dalam seni mempertahankan diri hanya menjadi jaguh kampung saja," kata Abdul Azeez. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain