suria

TCT Azam Beri Saingan Kepada 10 Pro-Asia Di LTdL

KUALA TERENGGANU: Pasukan lumba basikal profesional Terengganu "Terengganu Pro-Asia Cycling (TCT)" yakin mampu memberi saingan kepada 10 pasukan pro-benua yang akan menyertai kejohanan Le Tour de Langkawi (LTdL) pada Januari.

Ketua pasukan TCT, Anuar Manan berkata ini kerana TCT menyenaraikan pelumba-pelumba terbaik di benua Asia untuk menghadapi cabaran kejohanan berprestij itu.

"Saya yakin pasukan TCT mampu menyinar dalam kejohanan itu, walaupun ia merupakan pendatang baru dalam kejohanan tersebut," katanya.

Pasukan TCT dilancarkan Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said Isnin lalu dan sekaligus memperkenalkan seramai 12 pelumba TCT termasuk tiga pelumba dari luar negara.

Pelumba import terdiri daripada Shinichi Fukushima, Motoi Nara daripada Jepun dan Phuchong Udomsin dari Thailand.

Pelumba tempatan terdiri daripada Anuar Manan, Mohd Harrif Salleh, Mohd Shahrul Mat Amin, Yusrizal Usoff, Mohammad Saufi Mat Senan, Mohamad Fais Sharifuddin Abd Kadir, Mohd Shobry Abdullah, Mohd Nor Umardi Rosdi dan Nur Amiraul Fakhruddin Mazuki.

Anuar, yang mewakili team Geumsan Ginseng Asia musim lepas, berkata beliau akan cuba mempertahankan jersi hijau yang dimenanginya pada LTdL tahun depan.

"Pemilihan saya untuk membarisi TCT bagi saingan LTdL musim depan langsung tidak menggugat kedudukan saya untuk meraih pencapaian lebih baik dalam kejohanan itu," katanya.

Anuar berkata beliau tidak bimbang menyertai pasukan TCT walaupun baru ditubuhkan kerana melihat pasukan itu mampu bertahan lama dan pergi lebih jauh.

Bagi menghadapi kejohanan LTdL, pasukan TCT akan menjalani latihan di Thailand mulai minggu depan di bawah jurulatih dari Jepun, Shinichi Fuikushima dan dibantu Syed Hussaini Syed Mazlan, katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain