suria

Olahraga Capai Sasaran 9 Emas

CHIANG MAI: Skuad olahraga negara merangkul tiga emas sekaligus menepati sasaran sembilan emas yang ditetapkan skuad itu bagi Sukan Universiti Asean (AUG) 2010 kali ini.

Pada hari terakhir acara olahraga yang berlangsung di Kompleks Sukan Universiti Maejo di sini, Rabu, atlet negara Lo Choon Sieng memulakan pungutan emas dalam acara 10,000m jalan kaki lelaki.

Rahilah Othman mengikuti langkah Lo apabila memenangi emas menerusi acara lontar peluru wanita dan seterusnya Mohd Jironi Riduan menjuarai acara 1,500m lelaki.

Pengurus pasukan olahraga negara Mohd Firdaus Abdullah berkata kejayaan itu membuktikan olahraga masih merupakan sukan yang boleh disandarkan harapan pingat.

"Walaupun tak semua yang kita sasarkan emas berjaya, tapi ada beberapa acara yang kita tak jangka telah membantu kita untuk memenuhi sasaran antaranya acara lontar peluru wanita yang dimenangi Rahilah," katanya.

Beliau berkata pihaknya tidak menjangkakan kontinjen lain seperti Thailand akan turut menghantar atlet elit mereka ke kejohanan itu.

"Bagaimanapun persediaan rapi yang telah kita mulakan sejak awal tahun lagi serta penglibatan persatuan (Kesatuan Olahraga Malaysia) membantu kita untuk berjaya kali ini," katanya.

Olahraga turut menyumbang dua perak menerusi lempar cakera lelaki oleh Adi Alifuddin Hussin dan 1,500m wanita oleh K. Ganthimathi, manakala kuartet 4x400M lelaki dan wanita sekadar meraih gangsa.

Selain itu, skuad bola keranjang lelaki dan wanita negara masing-masing membawa pulang perak dan gangsa.

Skuad lelaki tewas kepada Thailand 52-67 pada perlawanan akhir manakala skuad wanita menundukkan Singapura 56-53 dalam perlawanan merebut tempat ketiga.

Dalam acara silat, Zahalani Ahmad Zeeyadi meraih perak setelah dikalahkan Van Heong Nguyen dari Vietnam 5-0 dalam perlawanan akhir kategori Tanding Lelaki Kelas B.

Nik Izzat Hanafi Nik Zainal juga merangkul perak dalam acara taekwondo kategori 'feather weight'. Beliau ditundukkan peserta Thailand Nattapong Kitrungrattanachai 1-14.

Sementara itu, skuad sepak takraw negara sekadar meraih perak dalam acara berpasukan setelah kalah kepada pasukan Thailand 0-2. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain