suria

Muslim Janjikan Permainan Terbaik

Muslim (kiri) peka mendengar arahan jurulatihnya, K.Rajagobal pada sesi latihan menjelang final Ahad ini. Foto: The star/AZMAN GHANI
Muslim (kiri) peka mendengar arahan jurulatihnya, K.Rajagobal pada sesi latihan menjelang final Ahad ini. Foto: The star/AZMAN GHANI
Muslim (kiri) peka mendengar arahan jurulatihnya, K.Rajagobal pada sesi latihan menjelang final Ahad ini. Foto: The star/AZMAN GHANI

KUALA LUMPUR - Pemain pertahanan negara, Muslim Ahmad berjanji akan mempamerkan permainan paling baik pada perlawanan akhir Piala Suzuki AFF pada 26 dan 29 Disember ini.

Pertahanan berusia 21 tahun itu berkata, dia akan memberi permainan terbaik termasuk mengawal rapi penyerang Indonesia, Cristian Gonzales yang disifatkan sebagai kunci utama kepada kekuatan pasukan tersebut.

“Saya berjanji akan menjalankan tugas saya dengan baik sekali gus ingin mempamerkan aksi maksimum pada perlawanan akhir nanti.

“Inilah peluang terbaik untuk kami menebus kembali kekalahan 1-5 kepada Indonesia dalam saingan peringkat kumpulan. Kami tidak akan mengulangi lagi kesilapan lalu,” katanya kepada media selepas perlawanan separuh akhir baru-baru ini.

Jelasnya, mungkin kesemua pemain masih tidak tahu apa sebenarnya yang terjadi ketika tewas besar kepada Indonesia awal bulan ini, tetapi mereka bertekad untuk kembali bangkit selepas diberi peluang kedua ini.

“Misi utama kami ialah mencari bekalan selesa pada perlawanan akhir pertama di Stadium Nasional Bukit Jalil (26 Dis) sebelum menawan Stadium Gelora Bung Karno seterusnya menjulang Piala Suzuki AFF.

“Saya akui pengalaman beraksi di Slovakia banyak mengajar saya bagaimana untuk memberi cabaran fizikal kepada lawan, tetapi bagi saya sendiri banyak perkara lagi yang perlu diperbaiki dan saya perlu sentiasa berada dalam keadaan bersedia,” katanya.

Muslim yang sebelum ini beraksi bersama skuad Harimau Muda, berkata, dia akan turut memberi tumpuan kepada seorang lagi pemain Indonesia yang disifatkan cukup lincah, Oktovianus Maniani, yang bermain di posisi sayap kiri pasukan.

“Sebelum perlawanan separuh akhir kedua, jurulatih, K. Rajagobal mengarahkan saya supaya tidak terlalu ghairah untuk membantu bahagian serangan mencari gol termasuk ketika sepakan sudut, ini untuk menghalang pasukan lawan melakukan serangan balas pantas.

“Menjelang perlawanan akhir ini saya juga akan sentiasa mendengar arahan jurulatih demi kebaikan pasukan Malaysia, mungkin saya akan bergilir dengan rakan segandingan, Fadhli Shas untuk naik membantu serangan, tetapi ia terpulang kepada strategi yang bakal diguna pakai,” katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain