suria

Misi Seterusnya Jadikan Sukan OKU Sebagai Sukan Profesional

KUALA LUMPUR: Kejayaan kontinjen paralimpik negara membawa pulang sembilan pingat emas pada temasya Sukan Para Asia edisi pertama di Guangzhou, China harus mendapat pujian setimpal dengan usaha dan pengorbanan yang dicurahkan oleh setiap atlet paralimpik negara.

Pencapaian itu melepasi sasaran lapan pingat emas yang ditetapkan oleh Majlis Sukan Negara (MSN).

Kejayaan itu juga menghantar isyarat bahawa atlet paralimpik negara sudah bersedia untuk melangkah ke tahap yang lebih tinggi iaitu ke tahap menjadikan sukan Orang Kelainan Upaya (OKU) sebagai sukan profesional setaraf dengan sukan orang normal.

Diketuai Datuk Dr Ramlan Abdul Aziz, kontinjen paralimpik negara membawa balik 45 pingat iaitu sembilan pingat emas, 13 pingat perak serta 23 pingat gangsa, dan meletakkan Malaysia di tangga keenam daripada 45 negara yang mengambil bahagian dalam temasya sukan yang diadakan setiap empat tahun itu.

Dr Ramlan yang juga Ketua Pengarah Institut Sukan Negara (ISN) berkata beliau berpuas hati dengan pencapaian cemerlang keseluruhan atlet paralimpik sepanjang bersaing di temasya sukan OKU kedua terbesar dunia itu.

"Bukan mudah bagi setiap atlet paralimpik negara untuk menang pingat kerana cabaran yang dihadapi oleh mereka begitu sukar apabila terpaksa bersaing dengan atlet paralimpik bertaraf dunia seperti China, Iran dan Korea Selatan," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata 48 daripada 102 atlet paralimpik mempamerkan persembahan cemerlang apabila berjaya menyumbang pingat untuk negara, dan 10 daripada mereka berjaya menyumbang lebih dari satu pingat.

Dr Ramlan berkata harapan beliau adalah untuk melihat atlet OKU negara mampu meneruskan kecemerlangan di kejohanan sukan yang akan datang, dan memontum di Guangzhou dapat diteruskan hingga ke peringkat lebih tinggi; iaitu Paralimpik London 2012.

Pengarah Cawangan Paralimpik MSN Mohd Safrushahar Yusoff pula berkata kejayaan yang dicipta oleh kontinjen paralimpik negara menunjukan bahawa mereka sudah bersedia untuk memikul tanggung jawab sebagai atlet elit paralimpik.

Katanya kejayaan dalam acara olahraga, renang, powerlifting, lawan pedang kerusi roda, badminton dan tenpin boling menunjukan bahawa atlet paralimpik negara bersedia untuk merealisasikan impian negara mencapai pingat emas di temasya paralimpik, London pada 2012 nanti.

Beliau berkata pihaknya memandang serius kegagalan skuad memanah paralimpik negara menyumbang pingat emas di Guangzhou, dan MSN akan berusaha untuk membaiki pencapaian acara itu kerana acara tersebut ialah salah satu sukan yang diharap mampu menyumbang pingat di London nanti.

Secara keseluruhan empat acara sukan berjaya menyumbang pingat emas iaitu badminton (tiga pingat emas), renang (tiga pingat emas), tenpin boling (dua pingat emas) dan olahraga (satu pingat emas).

Seperti diramal China muncul juara keseluruhan dengan kutipan 391 pingat iatu 185 pingat emas, 118 perak dan 86 gangsa, diikuti Jepun dengan kutipan 32 emas, 39 perak dan 32 gangsa.- BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain