suria

Sukan AUG: Kuartet Wanita Kebangsaan Ungguli 4X100

CHIANG MAI: Kuartet wanita negara mengungguli acara 4x100m lari berganti-ganti Sukan Universiti Asean (AUG) 2010 yang diadakan di Kompleks Sukan Universiti Maejo di sini, Selasa.

Pelari negara terdiri daripada Nurul Sarah Abdul Kadir, Norjannah Hafiszah, Siti Fatimah Mohamad dan Siti Zubaidah Adabi mencatat masa 45.73s, meninggalkan Indonesia (46.16s) dan Thailand (46.62s) di tempat kedua dan ketiga.

Menurut Norjannah, mereka gembira dapat mencapai sasaran yang ditetapkan iaitu emas meskipun pelari terakhir Siti Zubaidah kurang sihat (demam).

"Tiada tekanan untuk beraksi hari ini. Kami hanya buat yang terbaik. Lari saja," katanya kepada media Malaysia selepas perlumbaan.

Sementara itu, kuartet 4x100m lelaki Malaysia sekadar di tempat keempat di belakang Indonesia yang meraih emas, Thailand perak dan Singapura gangsa.

Terdahulu atlet negara Tan Song Hwa merangkul emas dalam acara lontar tukul besi wanita menerusi balingan sejauh 47.92m.

Beliau mengatasi peserta tuan rumah Rattana Suraprasert dari Thailand yang meraih perak dengan catatan 46.41m dan Anita Rohmah dari Indonesia yang membawa pulang gangsa (43.67m).

Selain itu, Wong Boon Syian dan Milinder Kaur, masing-masing menyumbangkan perak dalam acara lompat tinggi wanita dan 5,000m wanita.

Dalam perkembangan lain, perenang negara Khoo Chai Lin menjadi penyumbang emas ke-24 negara menerusi acara 400m gaya bebas wanita, sekali gus mencapai sasaran yang ditetapkan Kementerian Pengajian Tinggi bagi kejohanan AUG kali ini.

Renang turut menyumbang tiga lagi emas menerusi Chui Lai Kwan dalam acara 100m kuak lentang wanita, kuartet Khoo Cai Lin, Chui Lai Kwan, Marellyn Liew dan Leung Chii Lin bagi acara 4x100m berganti-ganti wanita dan Kevin Yeap yang memenangi acara 400m gaya bebas lelaki.

Perenang kebangsaan Daniel Bego pula kurang menyerlah hari ini apabila hanya memungut perak dalam acara 50m kuak kupu-kupu lelaki.

Perak juga dimenangi skuad renang dalam acara 50m kuak kupu-kupu wanita menerusi Marellyn Liew dan 200m kuak dada wanita dan lelaki oleh Khoo Chai Lin serta Yap See Tuan. - BERNAMA

Artikel Lain