suria

LTdL 2011: 12 Pelumba Tempatan Sah Berkayuh

KUALA LUMPUR: Jika semua berjalan lancar, Malaysia bakal melakar sejarah apabila dua pasukan benua tempatan akan menyertai Le Tour de Langkawi 2011 (LTdL 2011) sebuah kejohanan berprestij berstatus 2.HC (hor classe) dalam kalendar Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) 23 Januari – 1 Februari tahun depan.

Ketua Pegawai Eksekutif LTdL 2011, Mohamed Salleh menjelaskan penubuhan pasukan benua yang terbaru, Terengganu Cycling Team (TCT) bermakna sekurang-kurangnya 12 pelumba tempatan dijangka berkayuh pada kejohanan edisi ke-16 tahun depan bermula di Pulau Langkawi.

“Peraturan terbaru menetapkan setiap pasukan benua harus menamakan tiga pelumba tempatan. Jadi ini bermakna TCT dan Le Tua Cycling Team akan membariskan enam pelumba tempatan manakala pasukan kebangsaan Malaysia turut lakukan perkara sama.

“Selaku penganjur LTdL 2011, kami sangat berbangga kerana berjaya memperbanyakkan lagi jumlah pelumba tempatan berkayuh di kejohanan besar. Setakat ini saya boleh sahkan bahawa kami sedang timbang permohonan TECT dan pasukan Le Tua.

“Saya sangat gembira dengan perkembangan ini. Ia sangat bagus kepada sukan lebuh raya Malaysia. Ini bermakna Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) mempunyai 12 pelumba yang boleh dipilih berkayuh perlumbaan besar tahun depan seperti Kejohanan Lumba Basikal Asia 2011 (ACC 2011) di Korat dan Sukan Sea 2011 di Indonesia,” katanya dalam satu kenyataan, Isnin.

Sehubungan itu, Mohamed menyeru syarikat korporat di negara supaya melakukan tanggungjawab korporat (CR) dengan menyalurkan penajaan bagi memastikan sukan berbasikal terus tersohor dan mampu merangkul lebih banyak pingat pada masa depan.

Setakat ini, hanya Resort World Genting menaja RM1 juta untuk mencapai status penaja utama dan syarikat korporat berkenaan sudah berbuat demikian sejak 15 tahun lalu.

“Kita tidak harus biarkan hanya kerajaan atau persatuan yang bekerja keras menaikkan sukan berbasikal Malaysia. Ketika ini, saya difahamkan Sime Darby turut menaja pasukan trek. Ini satu perkembangan yang sangat bagus.

“Kalau boleh kita mahu lihat lebih banyak syarikat korporat di negara ini tampil menaja pasukan kebangsaan Malaysia, Le Tua Cycling Team dan Terengganu Cycling Team,” katanya.

Pada masa yang sama, Mohamed percaya TCT mampu melakar kejutan pada LTdL 2011 dengan penampilan Anuar Manan selaku juara bertahan jersi hijau dimenangi pada Le Tour de Langkawi 2010.

“Kami dan Kementerian Belia dan Sukan menyokong penuh Anuar Manan. Kami mahu lihat dia kekalkan kejuaraan jersi hijau dan menang perlumbaan peringkat sebagaimana dilakukannya tahun ini,” katanya.

Kejohanan berprestij LTdL 2011 anjuran KBS dengan kerjasama MNCF.

Ia kembali memasuki Langkawi atas saranan mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamed dengan perlumbaan bermula 23 Januari dan berakhir 1 Februari di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.

Artikel Lain