suria

Pasukan Kuala Lumpur Pertahan Gelaran Juara

MELAKA: Kuala Lumpur berjaya mempertahankan gelaran juara Kejohanan Taekwondo Kebangsaan 2010 anjuran Persekutuan Taekwondo Antarabangsa (ITF) buat kali ketiga berturut-turut di Pusat Boling Antarabangsa di Ayer Keroh di sini.

Ia memperolehi sembilan emas, dua perak dan lima gangsa bagi mempertahankan kejuaraan yang mula disandangnya pada 2008 di Ipoh, Perak.

Dalam kejohanan yang disertai 114 peserta dari seluruh negara dan Indonesia, Sarawak muncul di tempat kedua dengan memungut tujuh emas dan tiga perak manakala Perak di tempat ketiga dengan pungutan enam emas, lapan perak dan tujuh gangsa.

Ketua Jurulatih Kuala Lumpur, Cheang Kam Yin berkata kejayaan mempertahankan kejuaraan merupakan hadiah kepada keazaman dan usaha gigih yang ditunjukkan oleh anak buahnya sejak kejohanan bermula semalam.

"Kami mula melatih mereka daripada kecil, ada yang seawal lima tahun. Memang saya bangga tengok mereka yang kita latih daripada kecil sekarang mereka juara kebangsaan," katanya, Ahad.

Selain mempertahankan kejuaraan, Kuala Lumpur juga berbangga apabila dua pesertanya Lyonel Tan dan Foo Kuo Qiat dipilih sebagai pemenang bersama sebagai Peserta Terbaik Lelaki.

Lyonel memperolehi dua emas menerusi acara Pattern 4th Degree dan Sparring Bawah 71kg manakala Foo juga memperolehi dua pingat emas masing-masing menerusi acara Pattern 1st Degree dan Sparring Bawah 64 kg.

Lyonel dan Foo juga cemerlang membantu Kuala Lumpur memenangi pingat emas dalam acara Sparring Berpasukan Lelaki.

Foo juga merupakan salah seorang atlet yang mewakili negara pada Kejohanan Taekwondo ITF Dunia di Minsk, Belarus pada Ogos lepas.

Peserta Perak, Har Hor Kar dinobatkan sebagai Peserta Terbaik Wanita apabila berjaya memenangi dua pingat emas menerusi acara Pattern 3rd Degree dan Sparring Bawah 45kg.

Pulau Pinang akan menjadi tuan rumah bagi kejohanan tahun depan.

Presiden Persatuan Taekwondo ITF Malaysia, Datuk Mohd Yaacob Mohd Kassim semasa menutup kejohanan berkata persatuan itu bercadang untuk menganjurkan satu kejohanan taekwondo bertaraf dunia di Melaka tahun depan.

"Cadangan ini merupakan hasil perbincangan saya dengan Datuk Seri Mohd Ali Rustam (Ketua Menteri Melaka) semalam yang ini dapat membantu Melaka membawa masuk lebih ramai pelancong asing sesuai dengan program pelancongan sukan kerajaan negeri Melaka," katanya.-BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Daniel Bego Rangkul Dua Emas

Artikel Lain