suria

Najib: Kejayaan Malaysia Kalahkan Vietnam Satu Kebangkitan Skuad Bola Sepak Negara

KUALA LUMPUR: Kejayaan pasukan bola sepak Malaysia melangkah ke perlawanan akhir Piala Suzuki AFF merupakan satu "turning point" dalam sejarah bola sepak negara, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri berkata, walaupun perlawanan timbal balik di Stadium My Dinh, Hanoi, Vietnam, malam ini menyaksikan Malaysia seri 0-0 dengan Vietnam, ia tetap merupakan "satu kebangkitan yang amat diharapkan oleh rakyat selama ini".

Najib berkata demikian ketika ditemui selepas menonton perlawanan yang disiar secara langsung oleh Astro Supersport itu, di skrin besar di Jalan Bukit Bintang, di sini Sabtu, bersama kira-kira 5,000 orang, termasuk pelancong asing yang membanjiri kawasan membeli belah utama di ibukota itu.

"Walaupun tidak berjaya menyumbat sebarang gol, tapi yang penting kita dapat masuk final dan ini merupakan 'turning point' dalam sejarah bola sepak negara," katanya.

Pasukan bola sepak negara yang menamatkan kemarau 14 tahun gagal melayakkan diri ke perlawanan akhir Piala Suzuki AFF, selepas menewaskan Vietnam dengan agregat 2-0 selepas aksi separuh akhir kedua malam Sabtu.

Najib berkata, walaupun pasukan negara dilihat bermain secara 'defensif' dalam perlawanan ini, namun mereka bermain dengan penuh semangat dan memastikan benteng pertahanan sentiasa kukuh sehingga tidak dapat ditembusi Vietnam.

"Selain itu pasukan negara juga mempamerkan disiplin yang tinggi serta patuh kepada arahan jurulatih, dan ini merupakan antara penyumbang kepada kejayaan pasukan bola sepak negara," katanya.

Perdana Menteri yang berpakaian baju kemeja berlengan pendek tiba pada pukul 8.40 malam, iaitu kira-kira lima minit terakhir separuh masa pertama perlawanan, dan ketibaannya disambut dengan sorakan dan laungan Malaysia boleh oleh para hadirin.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dan timbalannya Datuk Razali Ibrahim turut menyambut ketibaan Najib dan bersama-sama bersantai bersama Najib yang duduk bersila di atas jalan bersama para penonton menonton perlawanan itu sehingga tamat permainan.

Menjawab satu soalan Najib berkata, soal ganjaran tidak perlu diutamakan lagi, dan apa yang penting ialah soal kejayaan perlu dilakar terlebih dahulu.

Sementara itu, Ahmad Shabery berkata, persefahaman dan semangat tinggi yang dipamerkan oleh pasukan negara membuahkan hasil yang cukup membanggakan sehingga berjaya mengekang serangan Vietnam.

"Walaupun tidak menjaringkan sebarang gol malam ini, tetapi dengan permainan yang efektif pasukan negara berjaya melangkah ke saingan akhir," katanya.

"Tidak semestinya kita perlu bermain cantik untuk menang kerana yang penting kita capai keputusan terbaik," tambahnya sambil mengucapkan tahniah kepada anak-anak buah K.Rajagobal yang berjaya melangkah ke perlawanan akhir. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Daniel Bego Rangkul Dua Emas

Artikel Lain