suria

Olahraga Kutip Dua Pingat Perak Dan Dua Pingat Gangsa

GUANGZHOU: Skuad olahraga paralimpik negara menjadi penyumbang utama kepada kutipan pingat Malaysia pada hari kelima Sukan Para Asia dengan mengumpul dua pingat perak dan dua pingat gangsa pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Utama Aoti, Guangzhou.

Dua pingat perak disumbangkan oleh Mohd Hisham Khaironi menerusi acara 100m lelaki kategori T12 dengan catatan 11.55s dan K. Hemala yang bertanding acara lempar cakera wanita kategori F12 dengan lontaran 31.24m.

Mohd Hisham, 31, berkata beliau berasa kecewa kerana gagal menambah bilangan pingat emas untuk negara hari ini.

"Walaupun gagal saya tetap bersyukur kerana tetap menyumbang pingat dan tidak pulang dengan tangan kosong," katanya di sini Jumaat.

"Cabaran yang diberikan oleh pelari dari China cukup hebat hingga saya hampir ketinggalan namun saya kuatkan semangat untuk mengejar hinggalah ke garisan penamat," katanya.

Pingat emas acara itu menjadi milik Li Yansong dari China dengan catatan masa 11.27s dan pingat gangsa milik pelari dari Thailand, Wongngoen Amnat (11.67s).

Bagi acara lempar cakera wanita kategori F12 pingat emas dimenangi oleh Tang Hongxia dari China (36.58m) dan gangsa milik Dayang Nor Hensan Awang Haji Mataha dari Brunei (18.30m).

Dua pingat gangsa negara bagi acara olahraga diperoleh menerusi Norsyazwani Abdullah dalam acara 200m wanita kategori T38 (33.08s) dan Law King Kiew, acara lempar cakera wanita kategori F54/55/56 dengan catatan masa 14.00m. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain