suria

Mohammad Azwar Idam Pingat Di Sukan Paralimpik Guangzhou

GUANGZHOU: Pemain ping pong paralimpik junior negara, Mohamad Azwar Bakar berazam tidak mahu pulang dengan tangan kosong ke Malaysia kerana misi utama beliau ke Guangzhou adalah untuk membawa pulang sekurang-kurang sebutir pingat tanpa mengira warna di Sukan Para Asia edisi pertama di sini.

Mohamad Azwar, 23, yang kali pertama diberi kepercayaan untuk beraksi di peringkat antarabangsa berkata beliau akan berusaha dengan bersungguh-sungguh bagi mengejar kejayaan itu.

"Kemungkinan besar skuad ping pong negara tidak akan bertemu dengan pasukan China pada peringkat suku akhir nanti. Ini akan membuka laluan mudah untuk kami melangkah ke peringkat separuh akhir," katanya kepada Bernama di sini Khamis.

Atlet yang berasal daripada Terengganu itu berkata beliau berjaya mencapai sasaran peribadi yang ditetapkan oleh pihak Majlis Sukan Negara (MSN), namun dia tetap tidak akan berpuas hati selagi tidak berjaya memenangi sebarang pingat untuk negara.

Selain Mohamad Azwar, tiga lagi pemain ping pong paralimpik negara yang akan bertarung bagi acara lelaki berkumpulan kategori gabungan TT9 dan TT10 esok ialah Ting Ing Hock, Koh Zhi Liang dan Hong Chin Sing.

Mohamad Azwar yang pernah memenangi pingat gangsa di Sukan Malaysia (Sukma), Terengganu pada dua tahun lepas berkata walaupun masih baru dalam skuad ping pong paralimpik kebangsaan acara sukan tersebut telah sebati dengan dirinya kerana beliau mula bermain ping pong sejak berada di sekolah rendah.

Sementara itu, jurulatih skuad ping pong paralimpik kebangsaan Chan Kin Foo berkata walaupun agak sukar bagi skuad ping pong paralimpik negara untuk menghadapi saingan esok, beliau masih menyimpan hasrat untuk melihat anak didiknya berjaya memenangi sekurang-kurang pingat gangsa.

"Semua peserta yang mengambil bahagian dalam Sukan Para Asia edisi pertama ini terdiri daripada pemain bertaraf dunia, jika berjaya memperolehi pingat gangsa sekalipun, ia dikira sudah cukup baik bagi kami," katanya.

Sehingga hari ini, skuad ping pong paralimpik negara masih gagal mengutip sebarang pingat. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain