suria

Karamjit Kuasai Pusingan Akhir MRC

JOHOR BARU: Walaupun kejuaraan Kejohanan Rali Malaysia (MRC) 2010 terlepas dari genggaman namun pemandu rali negara Karamjit Singh enggan menyerah kalah apabila menguasai hari pertama pusingan keempat dan terakhir di Kangar, Perlis, Sabtu.

Karamjit dan pemandu arahnya Douglas Pickering dengan mudah menamatkan perlumbaan peringkat keenam sejauh 79.9km dalam masa sejam 13 minit 8.2 saat, jauh meninggalkan bakal juara keseluruhan Muhammad Rafiq Udhaya dan pemandu arahnya Sean Gregory.

Karamjit, yang ketinggalan jauh dengan pendahulu keseluruhan Muhammad Rafiq dengan 24 mata selepas tiga pusingan, tetap memberi isyarat bahawa saingannya pada peringkat akhir itu tidak diambil mudah.

Muhammad Rafiq menamatkan saingan di tempat kedua dengan catatan masa 1'16:21.2s manakala Gunaseelan Rajoo dan pemandu arahnya Jagdev Singh, memandu kereta Mitsubishi Lancer, di tempat ketiga dengan masa 1'16:58.8s.

"Kami semua tidak sangsi dengan bakat Karamjit. Namum hari ini saya memandu dalam keadaan yang berbeza. Say beritahu Sean (Gregory) bahawa kita perlu menghabiskan perlumbaan dan menduduki tiga tempat teratas.

"Keadaan treak tidak begitu baik kerana lumpur ekoran hujan sejak beberapa hari. Lagipun, kami menghadapi masalah kecil seperti pemanasan lampau dan sistem ampaian kereta," katanya kepada Bernama ketika dihubungi Sabtu.

Pada Ahad, sebanyak enam lagi peringkat akan berlangsung sebelum Muhammad Rafiq dinobatkan juara keseluruhan musim ini.-BERNAMA

Artikel Lain