suria

Skuad Renang Paralimpik Yakin Kutip Enam Pingat Di Guangzhou

GUANGZHOU: Skuad renang paralimpik negara yakin mampu membawa pulang sekurang-kurangnya satu pingat emas dan lima pingat lain tanpa mengira warna pada edisi sulung Sukan Para Asia yang akan berlangsung di Guangzhou, China dari 12 hingga 19 Disember ini.

Jurulatihnya, Gan Kok Lee berkata kesemua enam perenangnya telah bersedia sepenuhnya untuk menghadapi cabaran tersebut yang akan bermula Isnin ini.

"Walaupun cabaran yang bakal dihadapi oleh perenang paralimpik negara agak sukar memandangkan ramai atlet hebat dunia bersaing pada kejohanan ini, saya tetap yakin dengan kemampuan perenang kita," katanya kepada Bernama, Jumaat.

Beliau berkata sandaran enam pingat diletakan kepada Zul Amirul Sidi Abdullah, Yusup Dewa, Fraidden Dawan, Razak Tambi, Juliuse Anak Jaranding dan perenang junior Jamery Siga.

Gan berkata kejohanan itu penting untuk perenang paralimpik negara kerana pencapaian di Guangzhou akan dikira untuk kelayakan ke Sukan Paralimpik London pada 2012 nanti.

"Perenang paralimpik negara akan mengambil bahagian dalam 17 acara dan setiap perenang akan menyertai empat hingga enam acara," katanya.

Pada Ogos lepas, perenang paralimpik negara, Zul Amirul Sidi Abdullah berjaya memperolehi pingat gangsa pada Kejohanan Renang IPC di Eindhoven, Belanda.

Beliau memperolehi pingat gangsa menerusi acara 50m kuak lentang kategori S5 dengan catatan masa 42.51 saat.- BERNAMA

Artikel Sebelum

Wenger Balas Kritikan Pedas Evra

Artikel Berikut

Arsenal Mara Ke Pusingan Kalah Mati

Artikel Lain