suria

Lima Pelayar Galas Cabaran Malaysia Pada Kejohanan Dunia 2010/2011

LANGKAWI: Pemenang pingat perak Sukan Asia 2010 Ahmad Latif Khan Ali Sabri Khan adalah antara lima pelayar yang akan menggalas cabaran negara pada Kejohanan Layar International Optimist Dinghy Association (IODA) Dunia 2010/2011 bermula 28 Disember ini.

Pengurus Besar Persatuan Pelayaran Malaysia (MYA) Mohd Afendy Abdullah berkata empat lagi ialah Mohd Faizal Norizan, Ahmad Syukri Aziz, Mohd Isan Ali dan Nurul Ezzatul Akmal Mohd Ruzaimi.

"Empat daripada lima pelayar itu adalah daripada skuad tahun lepas yang bertanding di Brazil, yang masih dikekalkan bertanding tahun ini," katanya kepada Bernama, di sini, Jumaat.

Beliau berkata Malaysia adalah juara berpasukan keseluruhan dan Mohd Faizal, pelayar pelapis kebangsaan, menjadi naib johan indivdu pada kejohanan tersebut.

Juara individu 2009 dipegang oleh pelayar Peru manakala China dan Thailand mengungguli johan berpasukan lelaki dan wanita.

"Kita bertekad untuk membaiki kedudukan dan menaruh harapan meraih kejayaan pada kejohanan itu," katanya.

Katanya sebanyak 57 negara mengesahkan menyertai kejohanan itu yang disertai 252 pelayar.

Antara negara yang mengesahkan penyertaan mereka ialah Brazil, Peru, Itali, Turki, United Kingdom, Jerman, Finland, Norway, Australia, New Zealand, Hong Kong, Thailand, Singapura dan Malaysia.

"Sambutan yang diterima amat menggalakkan, dan merupakan antara penyertaan terbanyak setakat ini," katanya.

Kategori yang dipertandingkan pada kejohanan selama 10 hari di Kompleks Latihan Perahu Layar Kebangsaan di sini itu ialah Optimist individu dan berpasukan lelaki serta wanita.

Sebelum ini, Malaysia turut dipilih menjadi tuan rumah Kejohanan Layar IODA Asia 2010 yang berlangsung di sini baru-baru ini dan disertai lebih 20 negara. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Wenger Balas Kritikan Pedas Evra

Artikel Berikut

Arsenal Mara Ke Pusingan Kalah Mati

Artikel Lain