suria

Skuad Rajagobal Mara Ke Separuh Akhir

PALEMBANG: Malaysia berjaya melangkah ke separuh akhir Piala Suzuki AFF 2010 apabila menewaskan Laos 5-1 dalam Kumpulan A di Stadium Jakabaring Kota Palembang, Sumatera Selatan, Selasa.

Tuan rumah Indonesia menghidupkan peluang Malaysia ke saingan separuh akhir apabila menewaskan Thailand 2-1 dalam satu lagi perlawanan akhir serentak Kumpulan A di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta.

Malaysia, yang tewas 1-5 kepada Indonesia dan seri tanpa jaringan dengan Thailand, perlu mendapat mata penuh ke atas Laos Sementara itu, Malaysia melakukan jaringan seawal minit keempat menerusi Amri Yahya tetapi Laos, yang seri 2-2 dengan Thailand sebelum ini, menyamakan kedudukan pada minit kelapan menerusi Lamnao Singto.

Bagaimanapun, Amri meletakkan Malaysia di hadapan sekali lagi menerusi jaringan pada minit ke-40 sebelum perlawanan berhenti rehat.

Selepas mengetahui Indonesia dan Thailand masih belum menjaringkan sebarang gol, pemain Malaysia turun semula pada babak kedua dengan penuh semangat dan keazaman.

Malaysia mengambil kesempatan dengan kelemahan bentang pertahanan lawan apabila menyumbat gol ketiga menerusi Mohd Amrulhadi Zainal pada minit ke-73 dan tiga minit kemudian Norshahrul Idlan Talaha mengukuhkan kedudukan.

Laos menghadiahkan gol terakhir Malaysia menerusi jaringan sendiri oleh Kitsada pada perlawanan yang dilanda hujan lebat.

Malaysia, selaku naib juara kumpulan, akan menentang juara Kumpulan B dalam saingan separuh akhir manakala juara kumpulan Indonesia akan berdepan dengan naib juara Kumpulan B.

Lawan Malaysia pada separuh akhir akan ditentukan antara Vietnam, Singapura atau Filipina hari ini.

Dalam perlawanan akhir Kumpulan B nanti, Filipina, yang membuat kejutan pada kejohanan itu dengan mendahului kumpulan itu akan menentang Myanmar manakala Vietnam akan bertemu Singapura pada perlawanan penentuan.-BERNAMA

Artikel Lain