suria

Kira-kira 400 Pemain Beraksi Pada Kejohanan Remaja Antarabangsa

KANGAR: Kira-kira 400 pemain tenis daripada 12 negara menyertai kejohanan tenis remaja antarabangsa Tuanku Syed Putra 2010 yang sedang berlangsung di sini sejak Ahad.

Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail merasmikan kejohanan kali ke-30 itu di sini malam tadi dan yakin kejohanan itu akan terus mampu melahirkan para pemain yang berkaliber.

Baginda juga berharap kejohanan itu akan mendapat sokongan kerajaan negeri kerana kehadiran para pemain dan anggota keluarga mereka ke Perlis turut membantu ekonomi negeri ini.

Selain peserta tempatan, negara-negara yang menghantar peserta pada kejohanan itu ialah Uzbekistan, Turkmenistan, Kazakstan, Rusia, Afrika Selatan, Kyrgstan, Singapura, Korea Selatan, Indonesia, Filipina dan Thailand.

Kejohanan selama lima hari yang diperkenalkan pada 1981 itu berlangsung di beberapa gelanggang sekitar negeri Perlis.

Kejohanan itu membabitkan acara-acara bawah umur 18, 16, 14, 12, 10, 8 dan 7 membabitkan perseorangan dan beregu lelaki serta perseorangan dan beregu wanita.

Sempena perasmian kejohanan itu, Raja Perlis turut melancarkan buku "30 Tahun Kejohanan" yang disusun dan diilhamkan oleh Pengarah Sukan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) Afizal Abu Othman yang juga Setiausaha Kehormat Persatuan Tenis Perlis (PTPs).

Pada majlis itu juga, seorang pemain tenis veteren, Abdul Aziz Hassan, 70, dipilih sebagai tokoh tenis kerana kegigihannya dalam sukan itu sejak lebih 50 tahun lalu.

Beliau yang menetap di Kampung Telok Jambu dekat sini masih aktif bermain tenis sehingga kini dan turut menjadi jurulatih tenis PTPs.

Turut berangkat ke majlis itu ialah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail manakala yang hadir sama ialah Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Dr Md Isa Sabu. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain