suria

Muhammad Nur Rizuan Muncul Juara GP Selangor

Muhammad Nur Rizuan Muncul juara perlumbaan GP Selangor, Ahad.
Muhammad Nur Rizuan Muncul juara perlumbaan GP Selangor, Ahad.
Muhammad Nur Rizuan Muncul juara perlumbaan GP Selangor, Ahad.

KUALA SELANGOR: Pelatih skuad kebangsaan, Muhamad Nur Rizuan Zainal membuktikan kehebatannya apabila muncul juara Grand Prix Kebangsaan Sirkit Ke-5 sejauh 150 kilometer di Kuala Selangor, Ahad.

Pelumba berusia 24 tahun itu yang berkayuh atas tiket Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melakukan tindakan berani apabila melakukan pemecahan (breakaway) bersama seorang pelatih skuad kebangsaan, Ahmad Fakrullah Alias pada perlumbaan berbaki 3 kilometer lagi.

Walaupun sedar ramai nama besar seperti Anuar Manan, Mohd Harrif Salleh, Mohd Zamri Salleh, Mohd Adiq Hussainie Othman, Suhardi Hassan dan Ahmad Haidar Anuawar berada dalam kelompok besar menjelang ke garisan penamat, namun pelumba tinggi lampai itu menang dengan masa tiga jam 33 minit 49 saat.

Manakala Ahmad Fakrullah, pemenang dua peringkat Tour d’Indonesia 2010 (TdI 2010) menduduki tempat kedua keciciran 12 saat di belakang diikuti Sarham Miswan dengan masa 3:34.39s.

Muhammad Nur Rizuan yang menduduki tempat pertama pada sesi ujian pendakian ke Genting Highlands baru-baru ini menganggap kemenangan itu sebagai hadiah paling bermakna buat dua insan penting dalam hidupnya iaitu isteri, Nurul Hidayah dan anak perempuannya, Nur Auni Irdina.

“Saya belum pernah menang sejak anak perempuan saya lahir empat bulan lalu. Jadi saya hadiahkan kemenangan Grand Prix Selangor ini untuk anak perempuan saya Nur Auni Irdina. Saya benar-benar puas dengan kejayaan hari ini,” katanya kepada media selepas majlis penyampaian hadiah.

Hadiah pertandingan disampaikan Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikla Malaysia (PKBM), Abu Samah Abd Wahab, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Le tour de Langkawi 2011, Mohamed Salleh; Setiausaha Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS), Azahari Sairin dan Bendari PKBM, Amrun Misnoh.

Sementara itu, perlumbaan hari ini tercemar dengan insiden kemalangan membabitkan seorang lagi pelatih kebangsaan, Muhammad Nur Rauf Misbah yang mengalami kecederaan pada muka, lengan dan lutut.

Sekali pun gagal menamatkan perlumbaan Muhammad Nur Rauf, pelajar diploma Pengurusan Sukan di Universiti Selangor (Unisel) itu masih menduduki tempat ketiga mata keseluruhan Grand Prix Kebangsaan.

Selepas tamat lima sirkit - Kedah, Johor, Terengganu, Sarawak dan Selangor, kutipan mata keseluruhan dipimpin oleh Sarham dengan 42 mata diikuti Mohd Fadhli Anwar Mohd Fauzi (30) dan Muhammad Nur Rauf (27).

Dalam pada itu, pelumba Kedah, Masyizaton Mohd Radzi meneruskan kecemerlangannya dalam acara lepas beramai-ramai wanita sejauh 100km sekali pun menduduki tempat ketiga dengan masa 2:43.57s untuk mengekalkan statusnya selaku pendahului mata keseluruhan dengan 65 mata.

Acara kategori elit wanita dimenangi pelumba berpengalaman dari Johor, Nur Azian Alias diikuti pelumba kebanggaan Selangor, Nurul Ahmar Badeuzzaman juga dengan catatan serupa.

Kategori bawah 18 tahun pula dimenangi oleh Muhammad Asyraf Misnan dengan masa 2:20.10s diekori Amirul Anuar Jefri (masa serupa) dan M Fahmi Irfan Zailani 2.20.11s.

Artikel Lain