suria

Sukan Berbasikal Jadi Sandaran Emas Di Sukan Olimpik 2012

KUALA LUMPUR: Sukan berbasikal kini menjadi sandaran negara untuk meraih pingat emas pada Sukan Olimpik 2012 di London berikutan pencapaian yang menggalakkannya di Sukan Komanwel di New Delhi, India dan di Sukan Asia di Guangzhou, China.

Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata sukan itu menunjukkan pencapaian yang amat membanggakan khususnya dalam dua kejohanan besar tahun ini iaitu dengan memperoleh dua pingat emas pada Sukan Komanwel dan satu pingat emas di Sukan Asia.

"Jika pencapaian ini diteruskan saya percaya sukan berbasikal akan menjadi antara sukan yang menganugerahkan pingat emas di Olimpik untuk negara.

"Lama kita nantikan emas daripada badminton tapi tak kunjung tiba, juga dari sukan-sukan yang lain. Tidak mustahil emas pertama dari Olimpik yang akan kita kecapi adalah menerusi basikal," katanya semasa berucap pada majlis penyerahan cek dan jersi contoh Le Tour De Langkawi (LTDL) di Kompleks Sukan Bukit Jalil di sini, Khamis.

Ahmad Shabery menerima cek dan jersi contoh itu daripada Timbalan Pengerusi Genting Malaysia Berhad Tun Mohammed Hanif Omar.

Pada edisi ke-16 LTDL, yang akan diadakan dari 23 Jan hingga 1 Feb tahun depan, Genting Malaysia menyumbang tajaan bernilai RM1 juta, di samping menyediakan hadiah bernilai RM3,000 kepada peserta Malaysia yang meraih 'top three' pada sebarang peringkat jelajah.

Ahmad Shabery berkata LTDL kali ini menjanjikan sesuatu yang lebih hebat dan akan kembali ke Pulau Langkawi.

"Untuk edisi kali ini kita akan mengembalikan nostalgia bagaimana LTDL ini bermula 16 tahun dahulu iaitu di Pulau Langkawi," katanya.

Selain itu, Ahmad Shabery turut menyeru pihak swasta untuk tampil menaja program pembangunan sukan berbasikal dengan mewujudkan pasukan berbasikal mereka sendiri.

"Sukan berbasikal menjanjikan 'return of investment' yang tinggi. Penampilan jenama (sesuatu syarikat) mendapat 'airtime' empat hingga lima jam sehari menerusi jersi pasukan yang dipakai pelumba dalam LDTL atau sukan jelajah berbasikal yang lain," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Skuad Goalball Sasar Lima Pasukan

Artikel Berikut

Artikel Lain