suria

Jawatankuasa FIFA Didakwa Terima Rasuah

SIASATAN yang dilakukan BBC mendapati tiga eksekutif Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) menerima rasuah yang ditayangkan dalam satu program pada Isnin, tiga hari sebelum calon tuan rumah untuk Piala Dunia 2018 dan 2022 diputuskan.

Program 'The BBC Panorama' yang turut mendakwa seorang lagi eksekutif FIFA merancang rasuah ke atas penjualan tiket Piala Dunia 2010 mengemukakan bukti baru mengenai pelantikan International Sports and Leisure (ISL) sebagai tulang belakang bahagian pemasarannya.

ISL diisytihar muflis pada 2001.

Program itu mendedahkan ahli jawatankuasa FIFA, Ricardo Teixeira dari Brazil, Ketua Konfiderasi Bola Sepak Afrika, Issa Hayatou dan Ketua Bola Sepak Amerika Selatan, Nicolas Leoz menerima rasuah dari ISL untuk mendapatkan kontrak menguntungkan.

Mereka merupakan ahli jawatankuasa eksekutif FIFA yang akan memutuskan negara terpilih menjadi tuan rumah untuk Piala Dunia 2018 dan 2022.

Namun, ketiga-tiganya menafikan dakwaan itu dan FIFA tidak dapat dihubungi untuk memberikan sebarang komen berhubung pertuduhan terbaru itu berdasarkan pendedahan yang dilakukan BBC berhubung dokumen pembayaran sulit ISL di antara 1989 dan 1999.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan BBC pada Isnin, Presiden FIFA, Sepp Blatter berkata tiada mana-mana pegawainya didakwa terlibat dalam sebarang kesalahan jenayah ketika sebutan semula kes ISL pada 2008.

Terbaru, Blatter mengkritik media Britain yang mendakwa organisasinya terlibat dengan rasuah walaupun dua ahlinya sudah ditahan awal bulan ini berhubung dakwaan salah laku didedahkan oleh Sunday Times.

Artikel Sebelum

Wilkins Akur Dengan Keputusan Kelab

Artikel Berikut

Artikel Lain