suria

Sembilan Emas Capai KPI Dan NKRA, Kata Ketua Kontinjen Malaysia

GUANGZHOU: Kejayaan kontinjen negara mencapai sasaran sembilan pingat emas menepati Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang ditetapkan oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS), kata ketua kontinjen negara ke Sukan Asia ke-16, Datuk Zolkples Embong.

Beliau berkata penilaian dari Bidang Keberhasilan Utama (NKRA) pula diterjemahkan melalui pencapaian terbaik kontinjen negara dengan kutipan pingat emas terbanyak sejak Malaysia mula bertanding buat julung kalinya pada edisi 1956 di Melbourne, Australia.

"KPI, NKRA yang ditetapkan oleh KBS kepada Majlis Sukan Negara (MSN) tercapai di Guangzhou dengan menepati sasaran sembilan emas," katanya kepada pemberita mengenai rumusan dari Sukan Asia di sini yang berlangsung sejak 12 November dan berakhir hari ini. Selepas 15 hari pertandingan, kontinjen Malaysia membaiki pencapaian satu anak tangga dalam carta kutipan pingat keseluruhan 45 negara yang bertanding di sini, meraih tangga ke-10 di sini berbanding tempat ke-11 semasa edisi di Doha, empat tahun lepas.

Malaysia mengutip sembilan emas, 18 perak dan 14 gangsa dari edisi ke-16 temasya ini. Di Doha yang merupakan pencapaian terbaik Malaysia dalam sejarah temasya sebelum ini, kontinjen negara meraih lapan emas, 17 perak dan 17 gangsa.

Katanya daripada 28 jenis sukan yang disertai Malaysia, sasaran sembilan emas tersebut menepati 100 peratus jangkaan kontinjen, 18 perak melebihi sasaran iaitu 105.8 peratus dan 14 gangsa turut 100 peratus menepati jangkaan.

"Sasaran dan jangkaan ini bukan dilakukan selepas Malaysia mendapat semua pingat itu tetapi beberapa bulan sebelum ke sini berdasarkan faktor tertentu seperti prestasi semasa atlet dan saingan mereka di sini," katanya.

Beliau yang juga Ketua Pengarah MSN berkata kontinjen negara sepatutnya boleh mencapai lebih dari sembilan emas namun beberapa atlet harapan tercicir daripada meraih kilaun emas.

Contohnya beregu badminton negara, Koo Kien Keat dan Tan Boon Heong yang gagal mempertahankan emas Doha apabila meraih perak serta skuad skuasy berpasukan lelaki yang tewas kepada Pakistan untuk meraih perak ketika pemain nombor dua negara, Ong Beng Hee terpaksa diturunkan akibat demam.

Beliau turut mengkategorikan sukan-sukan yang disertai Malaysia mengikut tahap prestasi mereka.

Sukan yang mempunyai prestasi yang amat cemerlang ialah sukan yang menang emas - boling (dua emas), berbasikal trek (satu), karate (dua) skuasy (tiga) dan wushu (satu).

Bagi prestasi cemerlang ialah sukan terjun (empat perak, lima gangsa), hoki lelaki (satu perak), badminton (dua perak) dan ekuestrian (satu perak, dua gangsa).

Kategori memuaskan ialah sepaktakraw (dua perak), sukan billiard (satu perak), pelayaran (dua perak, satu gangsa), menembak (satu gangsa), bola tampar pantai wanita (satu gangsa), bola sepak dan ragbi.

Zolkples berkata terdapat juga sukan yang tidak mencapai prestasi yang diharapkan seperti olahraga, memanah, hoki wanita dan tinju.

Dan ada sukan yang tidak sepatutnya menyertai Sukan Asia seperti lawan pedang, golf, kriket dan catur termasuk catur Cina, katanya.

"Sukan seperti ini sepatutnya mencari kejohanan lain untuk disertai tetapi bukan temasya sukan kedua terbesar di dunia ini selepas Olimpik," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain