suria

Malaysia Perlu Buat Persiapan Serius Bagi 2014, Bukan Dabik Dada

GUANGZHOU: Malaysia tidak seharusnya mula mendabik dada dengan pencapaian sembilan pingat emas pada kempen Sukan Asia ke-16 di sini walaupun ia merupakan bilangan tertinggi dalam sejarah sukan itu.

Selepas Majlis Sukan Negara (MSN) menabur jutaan ringgit dalam menyediakan barisan atlet namun kontinjen negara meraih sembilan emas, 18 perak dan 14 gangsa untuk menduduki tangga ke-10 dalam carta pungutan pingat di Guangzhou.

Berdasarkan persiapan selama empat tahun, Malaysia hanya menunjukkan peningkatan sedikit sahaja selepas merangkul lapan emas, 17 perak dan 17 gangsa untuk menduduki tangga ke-11 pada edisi lepas di Doha, Qatar, pada 2006.

Pencapaian Malaysia itu bagaimapun jauh berbeza dengan apa yang dicapai oleh tuan rumah China sejak edisi Doha dan 199 butir emas, 119 perak dan 98 gangsa yang dikumpul membuktikan negara Tembok Besar itu adalah kuasa besar dalam sukan di rantau Asia.

Di Doha, China mengumpul 166 emas, 87 perak, 63 gangsa dan jumlah pungutan emas kali ini adalah tambahan 33 emas berbanding hanya satu untuk Malaysia.

Korea Selatan pula menunjukkan peningkatan ketara dengan menjadi naib johan selepas mengutip 76 emas, 65 perak dan 91 gangsa berbanding 58 emas, 53 perak dan 82 gangsa pada saingan di Doha.

Walaupun mengekalkan kedudukan ketiga dalam carta pungutan pingat, persembahan Jepun secara keseluruhan merosot sedikit berbanding di Doha apabila merekodkan 48 emas, 74 perak dan 94 gangsa, iaitu kekurangan dua emas yang dicapai pada 2006.

Kilauan emas Malaysia dihadiahkan oleh sukan skuasy iaitu tiga emas, boling (2), karate (2), wushu dan berbasikal manakala beberapa sukan yang disandarkan emas terlepas khususnya dalam sukan badminton, iaitu antara sukan yang diharap membawa pingat emas pertama dari Sukan Olimpik.

Pemain nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei dan beregu utama Koon Kien Keat-Tan Boon Heong hanya sekadar berpuas hati dengan pencapaian pingat perak.

Ketika pemain badminton lelaki gagal menyumbang emas yang begitu diharapkan, persembahan pemain wanita pula amat mengecewakan selepas gagal layak ke peringkat memburu pingat.

Prestasi beberapa jenis sukan seperti olahraga, sepak takraw, memanah, menembak, kriket, tinju, golf, lawan pedang, catur dan skuad hoki wanita bertambah parah.

Namun, kekecewaan beberapa jenis sukan itu diubati dengan pencapaian cemerlang skuad hoki lelaki yang julung kali layak ke final sebelum meraih pingat perak dalam sejarah sukan itu.

Walaupun pencapaian anak buah Stephen Van Huizen itu tidak diduga sama sekali selepas persembahan buruk pada Sukan Komanwel di New Delhi, bulan lepas, namun mereka mengakui kehebatan Pakistan pada final.

Dalam acara olahraga, atlet Noraseela Khalid, yang berlatih di luar negara hampir sedekad lalu, gagal mewajarkan perbelanjaan besar dan masa yang dicurahkan apabila hanya menduduki tempat kelima dalam acara 400m lari berpagar.

Prestasi atlet lompat tinggi Lee Hup Wei dan atlet lompat bergalah wanita Roslinda Samsu juga amat mengecewakan dan MSN perlu mengkaji semula ketandusan atlet pelapis dalam beberapa acara olahraga yang menjadi kebanggaan negara sebelum ini.

Malaysia gagal menampilkan atlet dalam acara pecut, larian jarak sederhana dan jauh, lontar peluru, lempar cakera, merejam lembing, lompat jauh, lompat kijang dan lontar tukul besi.

MSN perlu berusaha lebih gigih dalam menyediakan barisan atlet pelapis bagi menggantikan atlet veteran yang sudah menyatakan kemungkinan bersara selepas temasya itu dengan atlet karate R.Puvaneswaran dan Ku Jin Keat sudah pasti berundur.

Pencapaian sembilan emas di sini tidak harus mencetuskan sambutan besar-besaran kerana empat tahun dari sekarang, negara tidak mampu untuk menambah satu lagi pungutan emas apabila Korea Selatan menjadi tuan rumah edisi 2014 di Incheon. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain