suria

Binaan Semula Bumbung Stadium Tidak Boleh Tergesa-gesa

DUNGUN: Pembinaan semula bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak, Kuala Terengganu yang runtuh pada Jun tahun lalu perlu mengikut proses ditetapkan dan tidak boleh dibuat secara tergesa-gesa.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Infrastruktur dan Kemudahan Awam Terengganu, Datuk Za'abar Mohd Adib berkata kerajaan negeri tidak akan berkompromi dalam aspek keselamatan walaupun sesetengah pihak mendesak mahu pembaikan stadium itu disegerakan.

Beliau berkata keputusan sama ada struktur bumbung dibina baru atau sebaliknya akan diputuskan enam perunding yang akan dilantik sebaik sahaja kerja-kerja pembersihan sisa runtuhan selesai.

"Paling penting ialah keyakinan orang ramai untuk terus menggunakan stadium tersebut bila ia siap nanti," katanya kepada pemberita pada majlis Berkhatan Beramai-ramai Daerah Dungun, di sini, Sabtu.

Hampir 1,000 kanak-kanak lelaki berumur 10 hingga 12 tahun dari empat kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Dungun iaitu Sura, Rantau Abang, Paka dan Bukit Besi menyertai program itu.

Kerja-kerja pembersihan sisa runtuhan bumbung stadium, yang dilakukan syarikat Azimat Berkat Sdn Bhd dari Setiu sejak penghujung Julai lalu kini di peringkat akhir dan dijangka siap tidak lama lagi.

Runtuhan, yang berlaku kira-kira pukul 9.30 pagi, 2 Jun tahun lalu melibatkan bumbung di bahagian timur stadium bernilai RM292 juta itu, menempatkan pintu masuk utama, pintu A, B dan B1 ke tempat duduk awam serta bumbung tempat duduk tetamu diraja serta orang kenamaan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain