suria

Malaysia Tambah Koleksi Pingat Gangsa Acara Terjun

GUANGZHOU: Penerjun Malaysia di Sukan Asia ke-16 di sini terus menjadi tumpuan apabila sering sahaja mengekori penerjun tuan rumah yang mendominasi keseluruhan acara di Pusat Akuatik Aoti di sini.

Selepas hari kelima saingan, China mendahului pungutan pingat acara terjun dengan lapan pingat emas dan empat perak diikuti Malaysia dengan empat perak dan empat gangsa.

Dalam acara 10m platform wanita Khamis, penerjun wanita negara Pandelela Rinong meraih gangsa selepas mengumpul 344.45 mata manakala pingat emas dan perak milik penerjun China, Hu Yadan dan Wang Hao, masing-masing dengan 436.70 dan 426.10 mata.

Sementara rakan senegara, Traisy Vivien Tukiet hanya mampu mengakhiri saingan di tempat kesembilan dengan 255.90 mata.

"Malam ini, saya rasa lebih yakin dengan terjunan saya berbanding semasa beraksi dengan (Leong) Mun Yee dalam acara seirama," kata Pandelela yang meraih emas dalam acara sama di Sukan Komanwel, New Delhi, bulan lepas.

Selain tumpuan untuk menghadapi Kejohanan Akuatik Dunia FINA ke-14 di Shanghai, China, Julai tahun depan, gadis keturunan Bidayuh itu juga mahu menyambung semula pengajian dan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang sepatut didudukinya tahun ini.

"Saya terpaksa korbankan masa untuk menjalani latihan bagi menghadapi Sukan Komanwel dan Sukan Asia," kata penerjun berusia 17 tahun itu.

Sementara dalam acara 3m papan anjal lelaki akhir malam Khamis, Yeoh Ken Nee meraih pingat gangsa keduanya dengan mengumpul 439.45 mata, di belakang He Chong (525.85 mata) dan Luo Yutong (503.15 mata), kedua-dua dari China.

Secara keseluruhan pada penampilan di Sukan Asia kali ini beliau meraih satu perak bergandingan dengan Bryan Nickson dalam acara 3m papan anjal seirama dan dua gangsa melalui acara 1m dan 3m papan anjal individu.

Seorang lagi peserta negara, Bryan Nickson Lomas di tempat kelima dengan mengutip 412.80 mata. - BERNAMA

Artikel Lain